Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak dakwaan mengatakan beliau pernah memihak kepada Perdana Menteri atau parti politik tertentu sebaliknya membuat keputusan berdasarkan undang-undang serta fakta.
Sebaliknya beliau berasa amat yakin bahawa badan kehakiman di bawah pimpinannya telah membuat keputusan yang betul berdasarkan perkara tersebut tanpa mengira kehangatan suhu politik yang menyelubungi beberapa kes di mahkamah.
"Panel kehakiman yang saya ketuai telah membuat keputusan yang kami yakin adalah betul berdasarkan undang-undang dan fakta tanpa mengira kehangatan politik yang menyelubungi beberapa kes.
"Kenyataan ini seharusnya menangkis sebarang tanggapan tidak berasas bahawa saya pernah memihak kepada mana-mana Perdana Menteri atau parti politik tertentu," katanya ketika berucap pada Pembukaan Tahun Perundangan 2025 di Putrajaya hari ini.
Dalam ucapan terakhirnya sebagai Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun berkata tempoh enam tahun pentadbirannya di bawah empat Perdana Menteri – Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kini Datuk Seri Anwar Ibrahim – semuanya daripada gabungan politik berbeza.
Beliau akan bersara wajib pada usia 66 tahun Julai ini, namun beliau akan kekal dalam jawatan selama enam bulan lagi sekiranya Yang di-Pertuan Agong berkenan melanjutkan tempoh perkhidmatannya.
Tengku Maimun berkata beliau telah memikul beban, imej dan tanggungjawab keseluruhan badan kehakiman selama hampir enam tahun, dan tidak akan iri hati terhadap individu yang akan menggantikan beliau kelak.
Beliau berkata selepas pelantikannnya sebagai Ketua Hakim Negara wanita pertama di Malaysia, beliau bertekad untuk memenuhi sumpah jawatannya dalam memastikan Perlembagaan negara disanjung tinggi.
Tengku Maimun menegaskan beliau tidak berpandukan pertimbangan lain selain undang-undang dan fakta kes mengikut prinsip kehakiman yang telah ditetapkan.
"Saya berada di sini untuk menjalankan tugas saya, saya tidak pernah mengidamkannya, tetapi dengan izin Allah SWT, saya diamanahkan untuk memimpin badan kehakiman. Ia jawatan yang sangat mencabar, namun dengan menerima pelantikan, saya komited sepenuhnya untuk melaksanakan tugas dengan baik.
"Saya tidak akan tunduk atau patuh kepada mana-mana individu, tidak kira betapa tinggi atau hebat kedudukannya, untuk melakukan apa yang diminta daripada saya," katanya sambil berkata beliau tidak sabar untuk bersara dan meluangkan lebih banyak masa bersama cucu serta mengukuhkan keimanannya.
Comments