Satu laporan polis dibuat terhadap Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal semalam kerana didakwa membuat laporan polis palsu.
Ahli Parlimen Ipoh Timur Howard Lee yang ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada Isnin berkata, ia susulan laporan polis dibuat Ahmad Fayshal di IPD sama pada 23 Mac lalu yang mendakwa Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengelirukan Dewan Rakyat berhubung penjelasan berkaitan pelepasan cukai Yayasan Albukhary.
Tegas Lee, laporan polis oleh Ahmad Fayshal yang merupakan Ketua Armada parti Bersatu itu jelas adalah palsu dan cubaan untuk mengalih perhatian orang awam dari isu sebenar.
"Tuduhan ini telah pun terbukti tiada asas, tidak benar, dan berniat untuk menyebarkan maklumat palsu kepada orang ramai, serta berbohong dan memberi maklumat palsu kepada polis sendiri.
"Jawapan Perdana Menteri di Parlimen sendiri telah secara jelas membuktikan bahawa Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin telah memfitnah Guan Eng yang juga bekas Menteri Kewangan dalam isu pelepasan cukai yayasan tersebut.
"Jenayah ini perlu dipandang serius kerana ia mempunyai niat untuk mempermain-mainkan dan memperlekehkan institusi kedaulatan keselamatan dan keadilan negara," tegas Lee kepada media.
Turut hadir menyertai Lee untuk membuat laporan polis itu adalah Ahli Parlimen Hulu Langat Mohd Sany Hamzah, Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman, Ahli Parlimen Kampar Chong Zhemin and Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid.
Sementara itu beliau mengingatkan Ahmad Fayhsal, sekiranya beliau mahu mendakwa Perdana Menteri atau Ahli Parlimen Bagan telah mengelirukan Dewan Rakyat maka satu usul perlu dibangkitkan dan dirujuk di dalam Parlimen dan bukan melalui saluran luar Parlimen.
"Justeru kita tak boleh biar mana-mana Ahli Parlimen mencabuli hak dan keistimewaan Ahli Dewan atas hujah-hujah mereka dalam Parlimen," katanya.
Terdahulu pada 25 Mac, Guan Eng yang kini Pengerusi Kebangsaan DAP memberi amaran kepada Ahmad Fayshal bahawa membuat laporan polis palsu merupakan kesalahan jenayah di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.
Comments