
Mahkamah Kuala Lumpur semalam melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Cabang Batu dari tuduhan gagal memaklumkan kepada polis mengenai perhimpunan membantah kenaikan harga barang di ibu negara, pada Sept 2022.
Peguam Bryan Ng Yih Miin yang mewakili Muhammad Sabda Suluh Lestari Yahya (gambar, kanan) dalam satu kenyataan media berkata, keputusan itu selepas Pendakwa Raya meneliti surat representasi oleh peguam bagi meminta DNAA.
"Dalam surat representasi tersebut, Peguambela menghujahkan bahawa Seksyen 9(1) dan 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 adalah tidak sah kerana ia adalah bercanggah dengan Perkara 10(2) Perlembagaan di mana hak untuk berhimpun secara aman selari dengan penghakiman Mahkamah Rayuan Nik Nazmi bin Nik Ahmad v Public Prosecutor.
"Tambahan, adalah dihujahkan bahawa peruntukan ini adalah disah kerana ia meletakkan satu hukuman untuk sebarang pelanggaran Seksyen 9(1) dan peruntukan untuk tempoh notis 10 hari ini hanya menyekat hak asasi rakyat di bawah Perkara 10(2) Perlembagaan yang merupakan undang-undang yang tertinggi di Malaysia," kata Bryan dalam kenyataan tersebut.
Sebagai rekod, Lestari Yahya dituduh bersama Ketua Pemuda Parti Amanah Negara Mohd Hasbie Muda dan Presiden Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa (KPUIAM), Mohamad Aliff Naif Mohd Fizam pada 18 Ogos tahun lalu selaku penganjur himpunan gagal memberikan notis 10 hari berhubung perhimpunan yang mahu diadakan.
Ketiga-tiga mereka mengaku tidak bersalah atas tuduhan dikenakan.
Bryan yang juga Pengarah Strategi AMK dalam kenyataan sama melahirkan rasa gembira dengan keputusan itu dan berharap ia satu permulaan baru untuk negara ini di mana hak rakyat untuk berhimpun secara aman
tetap diperliharakan.
Sementara itu, Lestari Yahya dalam satu kenyataan lain melahirkan rasa syukur dengan keputusan itu.
"Saya rasa amat bersyukur dan gembira terhadap keputusan ini.
"Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada sahabat-sahabat yang telah membantu saya sepanjang
perbicaraan kes ini.
"Akhir kata, saya akan terus berjuang dan bersuara demi rakyat serta berusaha bagi memastikan
kestabilan politik demi keharmonian negara yang tercinta," katanya.