top of page

'Ketika nyawa di hujung tanduk, kita hanyalah rakyat Malaysia'

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
4 hours ago
2 min read

Insiden bas terbalik yang tular baru-baru ini membuktikan semangat perpaduan rakyat Malaysia masih kukuh apabila masyarakat tanpa mengira kaum tampil membantu mangsa ketika nyawa berada dalam bahaya.


Ketua Wanita KEADILAN Cabang Cheras, Yap Kuay Hua berkata, gambar kejadian berkenaan menyentuh hati banyak pihak apabila memperlihatkan rakyat Malaysia saling membantu tanpa mempersoalkan latar belakang kaum atau agama.


"Apabila nyawa terancam, tidak ada lagi soal kaum. Yang ada hanyalah sesama rakyat Malaysia saling membantu.


"Lebih mengharukan, ada seorang lelaki yang sanggup menggunakan tubuhnya sendiri sebagai ‘tangga manusia’ untuk menyelamatkan orang lain. Inilah semangat sebenar Malaysia Spirit yang perlu kita raikan dan contohi," katanya dalam satu kenyataan.


Menurutnya, nilai perpaduan seperti itu perlu terus dipupuk di peringkat akar umbi kerana rakyat Malaysia merupakan satu keluarga besar tanpa mengira perbezaan latar belakang.


"Sebagai Ketua Wanita KEADILAN Cabang Cheras, saya percaya inilah nilai yang harus kita pupuk di peringkat akar umbi.


"Tanpa mengira latar belakang, agama dan kaum, kita adalah satu keluarga besar bernama Malaysia," ujarnya.


Kuay Hua berkata, setiap individu akhirnya akan dilupakan, manakala jawatan dan gelaran pula tidak kekal, sebaliknya yang akan dikenang ialah sumbangan serta nilai yang ditinggalkan.


"Satu hari nanti kita semua akan dilupakan. Jawatan berubah, gelaran hilang. Yang tinggal adalah kerja dan nilai kita.


"Saya nyatakan ini bukan untuk meninggi diri, tetapi untuk terus mengingatkan diri agar kekal berkhidmat dengan ikhlas," katanya.


Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua individu yang tampil membantu mangsa dalam insiden berkenaan, termasuk mereka yang tidak dikenali dan tidak mengharapkan sebarang pengiktirafan.


"Tahniah dan syabas kepada semua wira tidak didendang yang tampil membantu. Anda telah menunjukkan kepada dunia apa erti sebenar perpaduan dan kemanusiaan," katanya.


Kuay Hua menyeru rakyat supaya terus memperkukuh semangat berkenaan kerana situasi sukar menjadi medan yang memperlihatkan nilai sebenar masyarakat.


"Kerana di saat sukar, barulah kita nampak siapa kita sebenarnya, rakyat Malaysia," katanya.


Untuk rekod, kejadian tular bas terbalik tersebut merujuk kepada sebuah insiden berlaku di Kilometer 120.9 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan antara Pagoh dan Yong Peng, Johor pada awal September 2026 lalu.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page