‘Keterlauan, miskin adab’ - KEADILAN Sabah kecam Ketua Umno Sepang


Ucapan Ketua Umno Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said yang menyentuh agama Kristian, paderi, biarawati dan kitab Bible dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026 baru baru ini disifatkan sebagai kurang ajar, miskin adab dan keterlaluan.
Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Sabah Datuk Peto Galim berkata tindakan undang-undang wajar diambil terhadap perkara itu dan laporan polis perlu dibuat bagi menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan.
Beliau berkata ucapan berkenaan bukan sahaja tidak wajar malah menunjukkan sikap tidak sensitif terhadap masyarakat Malaysia yang hidup dalam kepelbagaian agama dan kepercayaan.
"Saya mengecam sekeras-kerasnya ucapan Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said dalam Perhimpunan Agung UMNO 2026 yang menyentuh agama Kristian, paderi, biarawati serta kitab Bible (Alkitab) dengan cara yang tidak wajar.
"Perbuatan tersebut bukan sahaja kurang ajar dan miskin adab malah langsung tidak sensitif terhadap masyarakat Malaysia yang berbilang agama dan kepercayaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Peto berkata insiden itu juga mencerminkan bagaimana politik perkauman dan agama yang keterlaluan boleh menyebabkan seseorang hilang rasa hormat terhadap penganut agama lain.
"Insiden ini juga merupakan contoh jelas bagaimana kesombongan individu apabila dicampur dengan politik perkauman dan agama yang keterlaluan, akhirnya menyebabkan seseorang hilang rasa hormat terhadap penganut agama lain," katanya.
Kontroversi itu tercetus selepas Noorazli ketika membahaskan ucapan dasar Presiden Umno pada PAU 2026 menceritakan kisah seorang paderi dan biarawati yang menaiki sebuah kereta Proton Saga manual.
Dalam cerita itu, Noorazli mendakwa tangan paderi berkenaan tersentuh paha biarawati ketika menukar gear sebelum biarawati tersebut merujuk kepada Mazmur 129 dalam Bible.
Beliau kemudian menjadikan cerita tersebut sebagai analogi berkaitan fokus dan usaha mencapai sesuatu matlamat.
Ucapan itu bagaimanapun mencetuskan kecaman kerana dianggap tidak sesuai dan menyentuh sensitiviti penganut Kristian termasuk daripada pemimpin politik serta pertubuhan berkaitan.
Noorazli kemudiannya menyatakan kesediaan memohon maaf sekiranya ucapannya menimbulkan salah faham atau menyinggung perasaan khususnya dalam kalangan penganut Kristian.
Mengulas perkembangan itu, Peto berkata penjelasan atau permohonan maaf selepas tercetus kemarahan awam tidak seharusnya menjadi alasan untuk menganggap perkara berkenaan selesai begitu sahaja.
"Jangan apabila masyarakat sudah marah dan mengecam, barulah masing-masing mahu memberi penjelasan, atau memohon maaf.
"Bukan sudah terhantuk baru tengadah. Ingat terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya," katanya.
Menurut Peto, agama tidak sepatutnya dijadikan bahan jenaka politik demi meraih sorakan atau keuntungan politik sementara.
"Agama bukan bahan jenaka politik. Keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama yang dibina selama ini tidak boleh diperjudikan hanya kerana mahu mendapatkan sorakan atau laba politik sementara," katanya.
Beliau berkata KEADILAN Sabah akan membuat laporan polis berhubung insiden tersebut dan menggesa pihak berkuasa berkaitan menjalankan siasatan.
"Tindakan selaras peruntukan undang-undang wajar diambil agar insiden sebegini tidak berulang lagi di masa hadapan," katanya.




Comments