
Majlis Pimpinan Angkatan Muda KEADILAN (MPAMK) mencadangkan supaya KEADILAN Sabah mengetengahkan calon muda bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada bulan September ini.
MPAMK berpandangan calon-calon muda mempunyai potensi dan kelebihan tersendiri untuk memenangi kerusi yang dipertandingkan.
"MPAMK mencadangkan agar calon-calon muda diketengahkan khususnya dari Angkatan Muda Keadilan pada pilihanraya negeri kali ini.
"Kepentingan untuk meletakkan calon-calon muda adalah bukti pembudayaan politik baru masa hadapan.
"MPAMK juga berpendirian agar prinsip pembahagian kerusi adalah berdasarkan kesaksamaan dan keadilan," menurut kenyataan.
Pada masa sama, sayap AMK akan turut memainkan peranan dalam PRN Sabah.
"MPAMK bersedia menghadapi Pilihanraya Negeri Sabah dan AMK akan menggerakkan jentera bagi membantu pilihanraya negeri.
"Justeru itu, Angkatan Muda Keadilan berikrar akan terus mempertahankan prinsip Keadilan dan berjuang demi mengembalikan mandat rakyat," katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi PRN Sabah akan diadakan pada 12 Sept, diikuti dengan hari mengundi awal pada 22 Sept dan hari mengundi akan diadakan pada 26 Sept.