Ketegasan PMX tingkat kualiti perkhidmatan awam perlu disokong - David Cheong
- Suara Keadilan
- 4 days ago
- 2 min read

Ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) dalam Majlis Perkhidmatan Awam Kali Ke-20 kelmarin disokong penuh oleh Ahli Dewan Negeri Kajang, David Cheong Kian Young.
Menurut beliau, mukadimah PMX jelas menegur secara tegas unsur negatif yang semakin menular dalam masyarakat, termasuk isu ketegangan kaum dan agama, budaya buli di sekolah mahupun pejabat, serta salah laku yang telah mengakibatkan kehilangan nyawa.
"Usaha untuk membanteras gejala ini harus ada kesepakatan bukan sahaja dalam kalangan badan-badan penguatkuasa khususnya PDRM tetapi keseluruhan ibu bapa, pendidik, rakyat keseluruhannya untuk mengakui hal ini merupakan amalan yang merosakkan dan melemahkan sendi negara.

"(Ianya) tak mungkin selesai hanya dengan pengumuman dasar atau penguatkuasaan, ini mesti bangkit dari kesedaran rakyat bahawa negara yang memacu pertumbuhan ekonomi yang menyegarkan tidak akan dapat bertahan kalau induk, tonggak dari segi nilai dan budaya itu kian luntur," katanya dalam satu kenyataan.
David menekankan pesanan PMX bahawa tindakan tegas perlu diambil tanpa kompromi terhadap pihak berkuasa yang gagal menjalankan amanah. “Kalau ada rakan-rakan yang mempunyai amanah tidak bersedia, mereka beritahu saya, kita tukar mereka, ambil orang yang berprinsip, tegas dan berani bertindak. Ini bukan soal populariti, ini soal menyelamatkan negara,” kata PMX dipetik.
Dalam pada itu, beliau juga menyifatkan kata-kata hikmah Perdana Menteri mengenai “karamah insaniah” sebagai peringatan penting bahawa kecintaan kepada negara, meskipun berbeza kaum dan agama merupakan asas kekuatan Malaysia di persada antarabangsa.
Selain itu, David menyambut baik pengumuman insentif tambahan kepada penjawat awam yang disifatkannya sebagai bukti keprihatinan Kerajaan Madani terhadap kos sara hidup semasa, di samping menghargai pengorbanan mereka.
"Amanat tersebut jelas memperlihatkan komitmen Kerajaan Madani untuk memperkukuh integriti, meningkatkan profesionalisme dan mempercepat agenda reformasi pentadbiran negara.
"Penekanan yang diberikan oleh PMX agar penjawat awam menjadi teras utama dalam menjayakan agenda pembangunan negara membuktikan bahawa Kerajaan Madani benar-benar menghargai peranan serta jasa mereka," ujarnya.
Justeru, David Cheong menyeru seluruh penjawat awam menghayati intipati amanat PMX dengan sepenuh hati serta melaksanakannya dalam setiap tanggungjawab.
"Hanya dengan semangat kebersamaan, perpaduan dan iltizam, agenda reformasi yang digerakkan oleh Kerajaan Madani akan dapat direalisasikan," ujarnya lagi.
Comments