Oleh: Azuan Ab Rahman
Ketegasan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong perjuangan rakyat Palestin melalui kenyataanya ketika berada di Jerman wajar diberikan pujian.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, kenyataan yang dikeluarkan PM itu mencerminkan Malaysia amat serius dalam menentang kekejaman Israel di bumi Palestin.
Selari dengan kenyataan itu, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyeru seluruh rakyat termasuk masyarakat dunia untuk terus mengutuk tindakan Israel dan menggesa agar serangan tersebut dihentikan.
"Penindasan terhadap rakyat Palestin di Gaza telah berlarutan puluhan tahun lamanya dan sejak itu Malaysia tidak berganjak dengan pendirian sama.
"Lebih 30,000 rakyat Palestin telah terkorban, manakala lebih 73,000 cedera akibat kezaliman rejim Zionis Israel sejak Oktober lalu," katanya dalam satu kenyataan.
Kelantangan PM di Jerman baru-baru ini mematahkan pertanyaan berat sebelah oleh media asing berhubung pendirian Malaysia berkaitan Hamas dan Palestin tular di media sosial dan mendapat perhatian dunia.
Masyarakat dunia mengagumi teguran luar biasa PM berkaitan isu Palestin ketika Canselor Jerman Olaf Scholz berdiri betul-betul di sebelahnya.
Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata pihaknya telah meminta pengurusan Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin untuk melaksanakan solat hajat berdoa untuk keamanan di Gaza.
Masjid dan surau di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) juga telah diminta untuk berbuat demikian.
"Bulan Ramadan kali ini perlu diambil peluang buat umat Islam seluruh dunia untuk terus berdoa agar rakyat Palestin dilindungi.
"Sesungguhnya, doa itu adalah senjata umat Islam dalam mendapat keredhaan dan perlindungan daripada Allah SWT," katanya lagi.
Comments