KESUMA perkukuh MYFutureJobs, tingkat kebolehpasaran graduan
- Suara Keadilan

- 14 hours ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kerajaan memperuntukkan RM5 juta menerusi Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi memperkasa kebolehpasaran graduan dan pencari kerja di institut pengajian tinggi (IPT) seluruh negara, sekali gus memperkukuh usaha penjajaran bakat dengan keperluan industri.
Menteri KESUMA, Datuk Seri R Ramanan berkata, bermula April ini, pelaksanaannya akan melibatkan 400 IPT di seluruh Malaysia, seterusnya memperkukuhkan peranan MYFutureJobs sebagai pemangkin pendigitalan dan inovasi teknologi dalam kalangan pelajar universiti.
"Bayangkan, hampir 2 juta orang bekerja di bawah tahap kemahiran sebenar mereka. Ini bermakna secara purata satu daripada tiga graduan yang menamatkan pengajian di universiti hari ini bekerja dalam bidang yang tidak sejajar kelayakan akademik mereka.
"Inilah pembaziran potensi yang tidak boleh kita biarkan berlarutan. Apabila bakat tidak diletakkan di tempat yang tepat, ekonomi negara turut menanggung kesannya.
"Jika kita mahukan pertumbuhan yang mapan dan mobiliti sosial yang lebih baik, penjajaran bakat dengan keperluan industri mesti menjadi keutamaan nasional.
"Justeru, hari ini kita akan melancarkan MYFutureJobs Career Exploration Centre atau MYCEC sebagai penyelesaian konkrit. MYCEC merupakan Hab Imersif Pertama di Malaysia yang direka khusus untuk mentransformasikan pendekatan pencarian kerja," katanya dalam ucaptama sempena majlis perasmian MYCEC di NU Sentral, hari ini.
Ujar beliau yang juga Naib Presiden KEADILAN, pendekatan itu menjadikan keseluruhan proses pencarian pekerjaan lebih sistematik, bermula daripada kesedaran awal, penerokaan minat, sehingga penempatan kerja yang semuanya dalam satu ekosistem nasional bersepadu.
Katanya, kerajaan mahu golongan pencari kerja tidak lagi ‘tersalah pilih jalan’, sebaliknya mereka dibimbing secara profesional sejak di peringkat awal.
"Usaha ini selari dengan perubahan zaman. Pendekatan konvensional semata-mata tidak lagi mencukupi. MYCEC menggunakan teknologi baharu bagi memperkukuh perkhidmatan pencarian kerja nasional, melengkapkan inisiatif sedia ada seperti Career Exploration Programme (CEP), Career Exploration Centre (CEC) dan MYFutureJobs.
"Sistem hari ini perlu menyokong keseluruhan perjalanan seseorang dari bangku sekolah hingga ke alam pekerjaan. MYCEC bertindak sebagai jambatan strategik antara bakat dan industri.
"Sejajar agenda pendigitalan dalam amanah Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim, MYCEC memanfaatkan sepenuhnya teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan sistem visual digital interaktif.
"AI ini digunakan untuk menganalisis data pencari kerja secara mendalam bagi memastikan padanan yang tepat dengan keperluan industri semasa.
"Penggunaan teknologi canggih dan paparan informasi moden akanmenjadikan eksplorasi kerjaya lebih menarik dan mesra pengguna, berbanding pendekatan konvensional," katanya lagi.
Ramanan menyifatkan, usaha berkenaan tidak boleh terhenti di platform digital semata-mata, malah PERKESO melalui MYFutureJobs mesti turun padang bagi mendekati mahasiswa dan pencari kerja secara langsung di kampus serta komuniti.
Beliau berkata, pendedahan secara bersemuka penting supaya bakat tidak lagi tercicir, dan setiap anak muda mendapat panduan yang jelas sebelum melangkah ke alam pekerjaan.




Comments