top of page

KESUMA perkukuh inisiatif MYFutureJobs, perluas peluang kerja berkualiti

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Dec 27, 2025
  • 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman


Sebanyak 622,283 penempatan pekerjaan direkodkan menerusi inisiatif MYFutureJobs sejak 2023 hingga 19 Disember lalu sekaligus membuktikan ketahanan ekonomi negara berdepan ketidaktentuan global.


Menteri Sumber Manusia (KESUMA) Datuk Seri R Ramanan (gambar) berkata, pencapaian itu mencerminkan keberkesanan dasar pasaran buruh aktif negara disokong asas domestik kukuh serta dasar fiskal dan ekonomi berhemat di bawah Kerajaan MADANI.


Selain itu, ia selari dengan penilaian positif Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada 19 Disember lalu terhadap prestasi serta daya tahan ekonomi Malaysia


"Pengiktirafan positif Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) membuktikan keupayaan Malaysia kekal berdaya tahan walaupun berdepan cabaran perdagangan global dan ketidaktentuan dasar antarabangsa, termasuk kesan tarif tinggi yang dikenakan Amerika Syarikat.


"Perkembangan positif ini didorong permintaan domestik yang kukuh, pelaburan berterusan dan pertumbuhan guna tenaga yang sihat," katanya dalam satu kenyataan.


Ramanan berkata, dari sudut kementerian, ketahanan ekonomi mesti diterjemahkan kepada manfaat langsung kepada rakyat melalui penyediaan peluang pekerjaan berkualiti, gaji adil dan pengukuhan tenaga kerja nasional.


Pertumbuhan ekonomi tegasnya perlu seiring dengan penciptaan pekerjaan berkualiti serta pembangunan kemahiran relevan bagi menghadapi pasaran buruh yang semakin dinamik.


Justeru KESUMA menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan terus memperkukuh inisiatif MYFutureJobs, portal pekerjaan nasional yang berperanan sebagai platform utama kerajaan bagi padanan kerjaya, pemudah cara tenaga kerja dan penyelarasan pasaran buruh.


Usaha itu merangkumi pemadanan kerja aktif, pembangunan kemahiran, perlindungan keselamatan sosial serta pelaksanaan Dasar Gaji Progresif bagi memastikan pertumbuhan peluang pekerjaan berkualiti, pendapatan mampan dan tenaga kerja berdaya saing.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page