KESUMA lancar MyWira 3.0, sasar 100,000 wanita kembali ke pasaran kerja
- Suara Keadilan
- 23 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Foad
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memperkenalkan inisiatif baharu berskala nasional, Wanita MyWira Accelerator 3.0 bagi mempercepatkan penyertaan semula wanita ke pasaran kerja melalui model pelaburan bersama bernilai sehingga RM15 juta.
Program yang dilancarkan Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong merupakan kerjasama strategik antara KESUMA, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), TalentCorp serta World Economic Forum (WEF).
Steven berkata menjelang tahun 2030, program ini disasarkan memberi manfaat kepada lebih 100,000 wanita dan keluarga di seluruh negara.
"Wanita MyWira Accelerator 3.0 akan melatih 1,000 wanita melalui laluan bertauliah MyMahir dengan sasaran 80 peratus penempatan kerja dalam tempoh enam bulan.
"Ia juga akan melibatkan 1,000 majikan untuk melaksanakan atur kerja fleksibel dan program “returnship” di samping menghimpunkan lebih 200 rakan strategik industri di bawah Majlis Bakat MyMahir Future Skills bagi memadankan latihan dengan peluang pekerjaan sebenar," katanya pada majlis pelancaran program berkenaan di Sime Darby Convention Centre, Kuala Lumpur hari ini.
Menurut Steven, program MyWira yang mula diperkenalkan pada 2015 kini memasuki fasa ketiga.
Katanya program MyWira 1.0 memberi potongan cukai kepada wanita yang kembali bekerja manakala MyWira 2.0 memperluas potongan cukai kepada syarikat yang menggaji wanita serta melaksanakan atur kerja fleksibel.
"Melalui MyWira 3.0, kerajaan bukan sekadar meneruskan dasar sedia ada tetapi tampil dengan komitmen pelaburan sebenar bagi mempercepatkan perubahan struktur dalam tenaga kerja.
"Dulu kita galakkan wanita kembali bekerja, kemudian kita galakkan majikan mengambil mereka semula. Kini kita mahu pergi lebih jauh, bukan sekadar kempen dan poster, tetapi pelaburan sebenar untuk mempercepatkan perubahan," katanya.
Steven menegaskan walaupun kadar penyertaan tenaga kerja wanita meningkat kepada 56.3 peratus dan keanggotaan lembaga pengarah wanita dalam syarikat tersenarai awam mencecah 33.1 peratus, jurang struktur dan budaya masih wujud.
"Wanita hari ini berjaya walaupun berdepan halangan, bukan kerana halangan itu sudah hilang. Kita mesti terus mengubah sistem yang meletakkan mereka pada kedudukan tidak seimbang sejak awal," katanya.
Memetik laporan bahawa jurang gaji antara lelaki dan wanita kini hampir tertutup, Steven berkata dengan perbezaan median gaji menurun daripada RM211 pada tahun 2023 kepada hanya RM18 pada Mac 2025 sekali gus menunjukkan dasar kerajaan semakin membuahkan hasil.
Steven menegaskan perjuangan ini bukan soal wanita menentang lelaki sebaliknya perjuangan menentang ketidakadilan struktur yang mengekang potensi separuh daripada tenaga kerja negara.
"Ini bukan program kebajikan untuk wanita, tetapi program keadilan dan kecekapan. Kita tidak boleh membiarkan separuh daripada potensi tenaga kerja negara terus terbazir hanya kerana sistem yang tidak adil," katanya.