KESUMA diarah semak program bawa pulang bakat di bawah TalentCorp
- Suara Keadilan

- 45 minutes ago
- 1 min read

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) diminta menyemak semula pengendalian permohonan oleh TalentCorp, termasuk permohonan daripada doktor berhasrat kembali berkhidmat di tanah air.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kementerian itu membentangkan hasil penemuan semakan tersebut kepada Jemaah Menteri.
Ia susulan beberapa isu yang dibangkitkan Majlis Perubatan Malaysia atau Malaysian Medical Council (MMC) kepada Perdana Menteri.
"Perdana Menteri meminta Kementerian Sumber Manusia untuk meneliti (proses permohonan) dan melaporkan kembali kepada Jemaah Menteri berkait satu agensinya, TalentCorp," katanya dipetik laporan media.
Menurut Fahmi, semakan merangkumi status permohonan diterima, tempoh masa memproses permohonan, serta jumlah permohonan lulus atau ditolak, termasuk permohonan doktor yang ingin pulang ke Malaysia untuk berkhidmat.
Program Kepulangan Pakar (REP) bawah TalentCorp bertujuan menarik minat rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara, termasuk profesional perubatan dan penjagaan kesihatan untuk kembali ke tanah air.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad pada bulan lalu berkata, permohonan tertinggi bagi program REP dalam sektor penjagaan kesihatan datangnya dari United Kingdom (UK), Singapura, dan Australia, dengan pakar perubatan serta doktor membentuk kumpulan profesional terbesar yang memohon program terbabit.




Comments