KESUMA cadang bina pusat rehabilitasi di setiap negeri
- Suara Keadilan

- 3 days ago
- 1 min read

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bercadang membina pusat rehabilitasi pekerja di setiap negeri.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong bagaimanapun berkata, ia bergantung kepada kemampuan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
"Setakat ini, PERKESO memiliki dua pusat di Melaka dan Perak, satu lagi sedang dibina di Terengganu, dan rancangan pembinaan di Pulau Pinang seperti yang diumumkan Perdana Menteri dalam Belanjawan 2026 baru-baru ini.
"PERKESO juga mempunyai empat Pusat Satelit Rehabilitasi iaitu di Shah Alam, Tanjung Pelepas, Kuala Terengganu dan Kuala Lumpur selain 261 panel Pusat Rehabilitasi PERKESO di seluruh negara yang mampu menampung pesakit atau orang berinsurans," katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau berkata demikian menjawab soalan mengenai perancangan PERKESO bagi memastikan perkhidmatan rehabilitasi dapat menampung permintaan pekerja setelah pelaksanaan Skim Lindung 24/7 PERKESO.
Sementara itu tambahnya, lebih 25,000 pekerja telah menerima rawatan di pusat rehabilitasi ditubuhkan PERKESO sejak 2014.
Daripada jumlah itu, 70 peratus kembali bekerja manakala 30 peratus memilih bersara walaupun sudah pulih.
"KESUMA komited mengurangkan kadar menunggu bagi proses rawatan dari tiga bulan kini kepada sebulan.
"Pusat rehabilitasi dijangka masih dapat menampung permintaan pekerja walaupun selepas Skim Keselamatan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) atau Lindung 24/7 melalui pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Sosial Pekerja 2025," tambahnya.









Comments