top of page

Kestabilan politik tarik Geely, Amazon labur berbilion - Anwar

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • May 7, 2023
  • 2 min read


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali menegaskan pentingnya kestabilan politik dalam menjamin ekonomi Malaysia tumbuh lebih baik.


Menurut beliau, pelaburan berbilion ringgit oleh gergasi teknologi seperti Amazon dan Geely yang sedang mencurah masuk berlaku kerana kestabilan politik yang dibawakan oleh Kerajaan Perpaduan, yang pada ketika ini cuba diganggu gugat oleh pembangkang Perikatan Nasional.


"Kalau kerajaan dan negara tidak stabil ekonomi tidak dapat diatur. Tanpa pemacuan ekonomi nasib rakyat tidak akan terbela.


"Petang ini, 2.30 petang Pengerusi Geely salah satu syarikat automobil terbesar di dunia akan menemui saya dan pada 4 petang mereka akan umumkan pelaburan yang besar berpuluh bilion untuk menjadikan Malaysia sebagai markas (hab) utama (automobil) di rantau ini.


"Ini kerana mereka yakin dengan pimpinan dan kestabilan juga masa depan Malaysia. Sebab itu kita tekankan kestabilan.


"Sebelum ini Amazon telah bersetuju menjadikan Malaysia sebagai pengkalan (operasi). Banyak negara lain memohon, Indonesia, Filipina dan lain lain. Saya semasa pengumuman itu (oleh Amazon) saya di Manila, semuanya terkejut dengan pengumuman Amazon memilih Malaysia.


"Ada pemimpin terdahulu yang berkata jasa mereka. Saya tak nafikan ada yang cuba memujuk dan pergi jumpa Amazon. Tetapi mengapa Amazon tak jawab? Dia jawab hanya setelah Kerajaan Perpaduan dibentuk dan kita stabil?" tanyanya.


Anwar menegaskan pelaburan besar berkenaan akan menjana berpuluh ribu peluang pekerjaan yang tidak dicapai ketika PN memerintah selama 33 bulan yang lalu.


"Saya bercaya dalam minggu minggu berikut ini kita akan umumkan kerana ia menjamin pekerjaan puluhan ribu rakyat. Data centre satu sistem dalam dunia digital telah diumumkan di Johor, dan dua lagi akan ditubuhkan di Cyberjaya dan satu lagi negeri belum diputuskan secara muktamad.


"Ini semua menunjukkan kestabilan politik itu mesti kita kekalkan," katanya pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani

di Negeri Sembilan, pagi tadi.


Di samping itu PM juga menyeru rakyat untuk faham kebijaksanaan kerajaan menganjurkan rumah terbuka di beberapa negeri yang memberi peluang rakyat mengenali dan bertemu para pemimpin kerajaan.


Katanya, dengan penganjuran itu lebih banyak rakyat akan dapat bersalaman dengan para pemimpin kerana banyak daripada mereka tidak berpeluang ke Seri Perdana sekiranya rumah terbuka dianjurkan sebagaimana tahun tahun sebelumnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page