Malaysia waktu ini menjadi perhatian dunia sebagai destinasi pelaburan unggul berikutan kestabilan politik dan dasar ekonomi yang jelas.
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dasar-dasar seperti Transformasi Digital, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NTER) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 membantu pelabur melihat kekuatan yang ada pada Malaysia.
Justeru rakyat jelasnya wajar mengambil peluang dari kewujudan peluang pekerjaan terhasil dari pelaburan tersebut.
"Malaysia sekarang dengan pelaburan (seperti) Infineon, Nvidia dan puluhan lagi, memerlukan 30,000 jurutera yang tak dapat kita isi sepenuhnya.
"Maka, tumpuan ibu bapa dan anak-anak Melayu mestilah di lapangan sains dan matematik dan TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) yang diusahakan secara gigih oleh (Timbalan Perdana Menteri) Datuk Seri (Dr Ahmad) Zahid (Hamidi) untuk meningkatkan keupayaan mereka," katanya dipetik.
Anwar berkata demikian pada ucapan di Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 peringkat negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh malam tadi.
Hadir sama, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam, Ahmad Zahid dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Pada ucapannya Anwar turut menyeru rakyat melakukan perubahan sikap dan minda dengan tidak bertempur hal remeh yang boleh mencetuskan pergaduhan.
Beliau berkata, ketika ini adalah wajar untuk meninggalkan perkara sedemikian supaya tidak ketinggalan bukan sahaja dalam kalangan kaum-kaum yang bersaing namun dalam kalangan negara maju.
"Jangan kita terus dalam hal-hal perbahasan yang remeh yang tidak berkesudahan. Tumpu, manfaatkan waktu, mendidik anak-anak memenuhi ruang lapang dengan pendidikan dengan ilmu," tegasnya.
Commentaires