Kestabilan politik hak rakyat, bukan milik ahli politik - Pemuda AMANAH
- Redzuan Shamsudin
- 41 minutes ago
- 2 min read

Kestabilan politik di negara ini perlu dilihat sebagai hak rakyat dan bukan milik mana-mana parti politik, kata Timbalan Setiausaha Pemuda AMANAH Nasional, Ammar Izham (gambar).
Menurut beliau, kestabilan merupakan prasyarat utama bagi memastikan kemajuan negara dapat dicapai secara mampan, termasuk dalam aspek ekonomi, keyakinan pelabur serta kesejahteraan rakyat.
"Dalam dunia yang semakin kompleks, kestabilan politik bukan lagi suatu pilihan tetapi keperluan asas bagi menjamin kemakmuran ekonomi, keyakinan pelabur dan kesejahteraan rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa landskap politik Malaysia kini memasuki era baharu yang menuntut pendekatan berteraskan kesepakatan dan kerjasama rentas parti, sejajar dengan konsep Kerajaan Perpaduan yang diperkenalkan sejak tahun 2022.
Dalam konteks tersebut, Ammar berkata budaya politik lama yang menekankan dominasi satu parti seperti era 60 tahun pemerintahan BN perlu ditinggalkan, sebaliknya digantikan dengan amalan politik matang kerajaan campuran yang mengutamakan kestabilan jangka panjang.
Tambahnya, komitmen antara parti politik untuk menghormati mandat rakyat sehingga tamat penggal juga penting bagi mengelakkan ketidaktentuan yang boleh menjejaskan pentadbiran dan pembangunan negara.
"Selepas Pilihan Raya Negeri Enam Negeri pada tahun 2023, negeri-negeri yang ditadbir melalui kerjasama Pakatan Harapan dan Barisan Nasional turut memeterai persefahaman politik bagi memperkukuh semangat perpaduan yang telah dibina di peringkat Persekutuan.
"Langkah ini penting kerana kestabilan tidak boleh bergantung kepada hubungan peribadi antara pemimpin semata-mata, tetapi perlu diperkukuh melalui perjanjian, persefahaman dan komitmen institusi," tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar menolak politik oportunis yang hanya mementingkan kuasa, serta bersama-sama memperkukuh institusi demokrasi demi masa depan negara yang lebih stabil dan sejahtera.
"Dalam konteks politik moden, sesetengah pihak masih terperangkap dalam pemikiran lama bahawa hanya satu parti dominan mampu membawa kestabilan. Hakikatnya, landskap politik dunia telah berubah.
"Di banyak negara maju seperti Germany, Netherlands dan Sweden, kerajaan gabungan atau coalition government telah menjadi norma selama beberapa dekad.
"Malah, Jerman yang merupakan ekonomi terbesar di Eropah telah ditadbir oleh pelbagai bentuk kerajaan gabungan sejak tamatnya Perang Dunia Kedua. Kestabilan dicapai bukan melalui dominasi mutlak, tetapi melalui kesepakatan, rundingan dan penghormatan terhadap mandat rakyat," ujarnya.
Tambah beliau, politik matang memerlukan kesabaran, kompromi dan pembinaan institusi yang kukuh, bukannya percaturan jangka pendek untuk merebut kuasa.
Justeru, menjelang Pilihan Raya Negeri Johor dan Negeri Sembilan akan datang, fokus utama bukan sekadar menentukan siapa menang atau kalah. Perkara lebih penting, ujar beliau, ialah memastikan wujudnya komitmen jelas antara parti-parti politik untuk menghormati mandat rakyat sehingga tamat penggal, memperkukuh perjanjian kerjasama politik dan menolak budaya pengkhianatan yang menggugat kestabilan
"Rakyat perlu menyedari bahawa era parti dominan telah berakhir. Politik abad ke-21 menuntut budaya baharu yang berteraskan kesepakatan, akauntabiliti dan kematangan. Kapal yang sedang belayar dalam lautan bergelora tidak boleh ditukar nakhodanya sesuka hati di tengah badai.
"Sebaliknya, ia perlu dipandu dengan kebijaksanaan, kesetiaan kepada amanah dan komitmen untuk sampai ke destinasi yang telah dipilih oleh rakyat," katanya lagi.
