Kesinambungan pentadbiran PH perlu diteruskan di N Sembilan - Penganalisis
- Azuan Ab Rahman

- 3 hours ago
- 1 min read

Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dijangka akan menjadi medan yang memperlihatkan kekuatan sebenar Pakatan Harapan (PH), kata seorang penganalisis politik.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pengurusan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohd Rashdan Sallehuddin berkata situasi kali ini berbeza dengan PRN Johor yang diadakan di negeri yang dianggap secara tradisi sebagai kubu kuat Umno.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata keputusan pilihanraya sebelum ini membuktikan pengaruh PH di Negeri Sembilan sukar dipandang ringan. Malah diperkukuh lagi menerusi gandingan erat Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di peringkat Persekutuan.
"Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), PH membentuk kerajaan di Negeri Sembilan selepas memenangi 20 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Para pengundi di Negeri Sembilan akan lebih bijak untuk menilai prestasi Kerajaan MADANI, sejajar dengan prestasi ekonomi negara dan nilai ringgit yang semakin meningkat di bawah Perdana Menteri," katanya.
Sementara itu Dr Mohd Rashdan berpandangan, kesinambungan pentadbiran PH di Negeri Sembilan serta prestasi cemerlang Aminuddin sebagai MB perlu dipertahankan dan diteruskan pada masa depan.
Aminuddin jelasnya telah terbukti menjalankan khidmat yang cemerlang tanpa sebarang skandal atau penyelewengan meskipun berdepan pelbagai cabaran.
"Banyak perubahan serta peningkatan dari segi ekonomi, pelaburan, pembangunan dan kutipan zakat sepanjang lapan tahun beliau mentadbir negeri ini.
"Pelbagai bentuk perubahan telah dibawa oleh Aminudin kepada rakyat - usaha ini perlu diteruskan agar kesejahteraan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat di negeri ini.
"Lebih dari itu, pengundi Negeri Sembilan juga akan lebih terbuka untuk memberikan undi berdasarkan kepada prestasi Anwar dan PH yang terbukti menjadi kerajaan negeri yang efektif dan membawa suara berbilang bangsa," katanya.




Comments