Kesihatan rakyat terus jadi keutamaan Kerajaan Selangor - Amirudin
- Suara Keadilan
- May 9
- 1 min read

Kerajaan Negeri Selangor komited memerangi penyakit tuberculosis (Tibi) di negeri itu melalui pelbagai usaha.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan, sepanjang tahun lalu Malaysia mencatatkan 26,183 kes tibi dengan 20 peratus atau 5,337 kes adalah dilaporkan di Selangor.
"Terdapat peningkatan dengan purata 2.5 peratus setiap tahun sejak 2020. Maka keperluan kepada intervensi berterusan dan menyeluruh semakin mendesak," katanya dalam muat naik di Facebook pada Khamis.
Tambah Amirudin, pentadbirannya telah bersetuju untuk meneruskan insentif Rawatan Penyakit Tuberculosis (tibi) sebanyak RM800 pada tahun ini.
"Insentif ini bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah meneruskan rawatan hingga sembuh sepenuhnya dan mengelakkan jangkitan lebih bahaya.
"(Namun) ini bukan satu-satunya langkah kita. Sudah pasti strategi pencegahan turut kita rangka kerana mencegah lebih baik dari merawat," tambahnya.
Selain itu jelasnya, melalui kerjasama antara Kerajaan Negeri dengan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dan Persatuan Bagi Mencegah Penyakit Tibi Malaysia (MAPTB) telah menunjukkan kadar kejayaan yang meningkat.
Ia terbukti apabila kejayaan rawatan direkodkan meningkat daripada 80 peratus pada 2020 kepada 88 peratus pada 2024.
Sebelum ini, Exco Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berkata, JKNS memainkan peranan penting dalam mendepani cabaran semasa berkait penyakit tibi menerusi pendekatan strategik dan inovatif.
Antara penumpuan diambil adalah kepada aspek pengesanan awal, penyediaan rawatan berkualiti dan pendidikan awam.
Kerajaan negeri juga menurutnya telah melabur dalam teknologi kesihatan seperti penggunaan ultra portable X-ray berteknologi tinggi yang disokong kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan ketepatan dan kepantasan diagnosis tibi.
Comments