Kesihatan mental tonggak utama pembangunan insan - Yuneswaran
- Suara Keadilan

- Nov 4
- 2 min read

Kesihatan mental perlu diberi keutamaan dalam persekitaran kerja yang banyak tekanan serta kurangnya waktu berkualiti bersama keluarga.
Ahli Parlimen Segamat, Yuneswaran Ramaraj berkata, kesihatan mental perlu diletakkan sebagai perkara penting dalam dasar global dan pembangunan negara, bukan sekadar isu sampingan.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di Sidang Kemuncak Dunia mengenai Kesihatan dan Kesejahteraan Mampan di Bangkok, Thailand, yang menghimpunkan pemimpin serta pakar kesihatan global komited terhadap masa depan kesihatan yang berdaya tahan, saksama dan inklusif untuk semua.
Menurut Yuneswaran, beliau berasa berbesar hati diundang sebagai tetamu dan dapat bersama barisan tokoh antarabangsa termasuk Menteri Kesihatan Kerajaan Diraja Thailand, Hon Encik Pattana dan Dr Datchanamoorty Ramu, Pengerusi Majlis Pembangunan Mampan.
"Saya menekankan bahawa kesihatan mental mesti berdiri di tengah-tengah dasar global dan pembangunan negara bukan sebagai topik sekunder, tetapi sebagai tonggak modal insan, daya tahan dan pembinaan negara," katanya dalam muat naik Facebook.
Beliau berkata tekanan ekonomi, kebimbangan digital, isu iklim serta ketidaktentuan geopolitik telah memberi kesan besar terhadap kesejahteraan manusia.
"Tiada pembangunan mampan tanpa daya tahan mental dan tiada ekonomi kukuh tanpa minda yang sihat," jelasnya.
Dalam ucapan pada majlis berkenaan juga, Yuneswaran menyeru pembuat dasar agar memberikan keutamaan kepada kesihatan mental sebagai agenda seluruh kerajaan dan masyarakat.
Beliau juga menekankan keperluan melatih dan memperkasakan profesional barisan hadapan serta membina perkongsian global bagi mengukuhkan daya tahan sistem kesihatan.
"Kesihatan mental bukanlah kemewahan, ia adalah hak asasi manusia dan keperluan pembangunan," ujarnya.
Yuneswaran berharap sidang kemuncak tersebut akan menyemarakkan perkongsian bermakna, memperkayakan pemahaman kolektif dan membimbing dunia ke arah model dasar yang menjunjung kesejahteraan, maruah serta kemajuan manusia.
"Marilah kita membina sistem yang tidak mudah pecah dalam krisis, dasar yang tidak meninggalkan komuniti, dan menghormati janji Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) bahawa setiap kehidupan penting serta berhak hidup dalam kesihatan, maruah dan harapan," kata beliau.









Comments