Kesetiaan reformis asas KEADILAN peroleh mandat tadbir negara - Dr Fuziah
- Suara Keadilan

- 3 days ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Mandat yang diperoleh KEADILAN sebagai Kerajaan Persekutuan hari ini tidak hadir dengan sendirinya, sebaliknya lahir daripada kesetiaan, pengorbanan dan keteguhan penyokong dan reformis yang tidak pernah meninggalkan perjuangan.
Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, sejak awal lagi perjuangan reformasi tidak bertujuan menukar individu semata-mata, sebaliknya dengan matlamat lebih besar iaitu membetulkan sistem pentadbiran negara agar lebih adil, telus dan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
"Reformasi dibina melalui proses panjang, pengorbanan dan keteguhan para reformis yang tidak pernah meninggalkan medan, walau diuji dan ditekan.
"Kesetiaan ini menjadi asas kukuh kepada kepercayaan rakyat sehingga membolehkan KEADILAN memperoleh mandat untuk mentadbir dan melaksanakan agenda pembaharuan," katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Hantaran itu menyusul Hari Keluarga dan Rapat Reformis Kebangsaan (HKDRRK) 2026 di hadirinya di Kelab Golf Bukit Beruntung, Hulu Selangor pada Sabtu.
Sementara itu Dr Fuziah menegaskan, mandat sebagai kerajaan merupakan satu amanah besar yang menuntut reformasi dilaksanakan secara cekal, cekap dan relevan, merentas ekonomi, pendidikan, institusi serta keseluruhan tadbir urus negara.
Justeru tegasnya, usaha membetulkan tatakelola dan memperkukuh integriti bukanlah tugas jangka pendek, sebaliknya memerlukan kebijaksanaan serta komitmen berterusan dalam pelaksanaan dasar yang dirangka.
"Insya-Allah, sama-sama kita terus memelihara semangat reformasi ini dan para Otai Reformis terus menjadi pengingat dan pengimbang agar reformasi kekal berfungsi dan tidak tersasar daripada tujuan asalnya," tambahnya.









Comments