Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 pada Ahad yang menghimpunkan 19 parti politik memberi isyarat masa depan lebih baik untuk Malaysia.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata kesepakatan yang dipamerkan pemimpin politik pada konvensyen itu akan membawa Malaysia memasuki era pemulihan dan kestabilan yang lebih dinamik dan kompetitif seperti yang diidamkan rakyat.
"Bukan sekadar perhimpunan, para pemerhati politik dan rakyat perlu tahu bahawa kesemua 19 parti ini telah membuktikan satu prinsip abadi yang menjamin kebangkitan negara bangsa, iaitu 'Negara Dahulu' atau 'Nation First'.
"Rakyat sangat beruntung kerana parti politik ini akur kepada kehendak rakyat agar membuang ego dan fokus menangani derita mereka. Kestabilan itu telah dibentuk semalam dan ia adalah satu komitmen untuk cetusan kesegaran baharu politik tanah air," katanya menerusi Facebook pada Isnin.
Sementara itu Mujahid mengingatkan pemimpin kerajaan agar terus memenuhi harapan rakyat dengan mewujudkan pentadbiran yang berintegriti selain meringankan derita rakyat dan menangani kebencian kaum dan agama.
Pemimpin juga digesa agar tidak memperduli suara-suara sumbang yang cuba memecah perpaduan parti-parti dalam kerajaan.
"Suara-suara sumbang masih memainkan muzik lama perkauman dan kebencian akan tetap istiqamah dengan jalan mereka.
"Biarkan sahaja mereka menjadi suara-suara sumbang yang menghimpunkan mereka atas kepentingan sendiri dan masih di takuk lama," katanya.
Comments