Kesemua rakyat Malaysia GSF 2.0 diculik Israel dijangka pulang tidak lama lagi
- Suara Keadilan

- May 22
- 1 min read

Kesemua 29 rakyat Malaysia yang diculik rejim Zionis Israel ketika menjalankan misi Global Sumud Flotila (GSF) dijangka dibawa pulang tidak lama lagi.
Jurucakap kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil (gambar) berkata, usaha diplomatik antara Malaysia dan Turkiye sudah dimulakan bagi tujuan itu dan beliau dimaklumkan bahawa kerajaan Turkiye sudah menghantar tiga pesawat ke Israel bagi membawa keluar semua individu yang ditahan termasuk rakyat Malaysia.
"Ini telah diusahakan bersama dalam hubungan diplomatik yang sangat baik antara Menteri Luar Malaysia dan Turkiye, antara Perdana Menteri dan juga Presiden Recep Tayyip Erdogan.
"Jadi insyaAllah, rakan-rakan kita akan pulang ke tanah air dengan selamat," katanya dipetik pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Komunikasi di Kuala Lumpur semalam.
Terdahulu, Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC) Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby memaklumkan, Perdana Menteri memberi jaminan mengetuai usaha membawa pulang semua rakyat Malaysia terbabit khususnya menerusi rundingan dua hala berterusan bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.
Usaha itu penting bagi memastikan kesemua aktivis berada dalam keadaan selamat serta mengelakkan mereka daripada ditahan di Penjara Ketziot.
"Melalui hubungan dua hala ini, kita menggunakan bantuan kerajaan Turkiye bukan sahaja untuk memantau rakyat mereka, tetapi turut membantu melihat keadaan rakyat Malaysia secara langsung. Itu sahaja yang mampu kita lakukan secara maksimum ketika ini. Dalam tempoh terdekat, kita berharap mereka dapat dibebaskan," jelasnya.




Comments