top of page

Keselamatan Internet: MCMC guna kaedah santai beri kefahaman kepada masyarakat

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 6 hours ago
  • 2 min read


Oleh: Helmi Foad


Isu keselamatan Internet kini tidak lagi terhad kepada perbincangan teknikal atau komuniti pakar semata-mata sebaliknya berkembang menjadi isu keluarga dan masyarakat yang memberi kesan langsung kepada kehidupan seharian rakyat.


Seiring dengan realiti itu, Hari Keselamatan Internet (HKI) 2026 yang dijadual berlangsung di Astaka Taman Tasik Titiwangsa pada Ahad ini menggunakan pendekatan santai bagi membawa isu keselamatan digital, kanak-kanak, kecerdasan buatan (AI), penipuan dalam talian serta tanggungjawab digital ke ruang awam.


Program anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu menampilkan konsep 'edutainment' yang menyasarkan penyertaan ibu bapa, remaja, pelajar serta keluarga, selaras dengan tema “Teknologi Pintar, Pilihan Selamat.”


Menurut MCMC, HKI 2026 memberi penekanan kepada penggunaan teknologi dan AI secara selamat, beretika dan bertanggungjawab sejajar dengan cabaran semasa landskap digital yang semakin kompleks.


"Keselamatan Internet hari ini menuntut perubahan sikap dan tahap kesedaran yang lebih menyeluruh khususnya dalam kalangan keluarga dan komuniti, bukan sekadar amaran atau perbincangan teknikal," kata MCMC dalam satu kenyataan.


Isu keselamatan digital semakin relevan memandangkan kanak-kanak kini terdedah kepada internet dan teknologi AI pada usia yang lebih awal selain peningkatan kes penipuan dan scam dalam talian yang semakin sofistikated, kata MCMC.


"Dalam masa sama, ramai pengguna masih tidak menyedari risiko harian yang wujud melalui penggunaan peranti mudah alih dan aplikasi digital," ujarnya.


Sehubungan itu, HKI 2026 dirangka sebagai platform kesedaran nasional yang menumpukan kepada pembentukan budaya penggunaan Internet yang lebih selamat dan bertanggungjawab, berbanding pendekatan berbentuk ketakutan atau sensasi.


"Antara pengisian utama program termasuk pocket talk dan perbincangan santai tanpa bahasa teknikal, aktiviti interaktif serta pameran keselamatan digital yang mesra keluarga dan komuniti.


"Pendekatan visual serta kandungan mesra media sosial turut diketengahkan bagi memastikan mesej keselamatan internet dapat difahami dan dikongsi secara meluas," ujar MCMC.


Suruhanjaya itu memaklumkan HKI 2026 berfungsi sebagai ruang dialog terbuka antara masyarakat, keluarga dan pihak berkepentingan dalam menangani risiko digital secara kolektif.


"HKI 2026 bertujuan mendekatkan isu keselamatan internet dengan rakyat, supaya ia difahami sebagai tanggungjawab bersama dalam kehidupan seharian," menurut kenyataan itu lagi.


Maklumat lanjut mengenai Hari Keselamatan Internet 2026 boleh diperoleh menerusi laman rasmi di https://mcmc.gov.my/ms/hki2026/home

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page