'Kesederhanaan' jadi benteng ancaman ekstremisme - MB Selangor
- Suara Keadilan

- Oct 16
- 1 min read

Nilai wasatiyyah (kesederhanaan) atau kesederhanaan perlu menjadi teras dalam sistem pendidikan negara bagi membendung ancaman ekstremisme yang semakin menular di kalangan pelajar dan mahasiswa.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pendidikan berperanan penting dalam membentuk fikiran yang seimbang dan akhlak yang matang, agar generasi muda tidak mudah terpengaruh dengan fahaman melampau atau ideologi yang memecah-belahkan masyarakat.
"Ekstremisme kini menjadi cabaran utama. Ia boleh datang daripada pelbagai arah — pengaruh rakan sebaya, media sosial, atau bahan bacaan. Pendidikanlah benteng paling awal untuk membina kefahaman dan keseimbangan," katanya dipetik.
Amirudin berkata begitu ketika merasmikan Seminar Wasatiyyah 2.0 dan Membendung Ekstremisme Daerah Klang di KSL Esplanade Hotel pada Rabu.
Menerusi ucapannya, Amirudin turut menyuarakan kebimbangan terhadap fenomena ‘generasi keresahan’ dalam kalangan pelajar universiti yang terdedah kepada algoritma media sosial sehingga menyebabkan tekanan dan kemurungan.
Beliau sementara itu menegaskan, sikap kesederhanaan juga adalah asas untuk melahirkan masyarakat berilmu, berakhlak dan harmoni selaras dengan nilai Malaysia Madani.
Justeru beliau mengingatkan ahli politik agar tidak menyalahguna mesej keagamaan bagi tujuan perpecahan.
"Ucapan politik yang mengaitkan soal syurga atau neraka, beriman atau tidak beriman hanya membawa fitnah dan kerosakan. Kita perlu kembali kepada semangat wasatiyyah yang mendidik, bukan memecah," tegasnya.









Comments