
Kesalinghubungan digital di seluruh Kedah diperkasakan oleh Kerajaan Perpaduan biar pun negeri berkenaan ditadbir Pas dan sikap pemimpinnya kurang berkerjasama terhadap Persekutuan.
Menteri Komunikasi dan Digital Ahmad Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan berkata, kerajaan pusat mengenepikan perbezaan politik demi keperluan asasi telekomunikasi rakyat Kedah, sebagaimana komitmen yang beliau zahirkan semasa Sesi Menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah, semalam.
Secara keseluruhan, katanya beliau berpuas hati dengan perkembangan jalur lebar dan penglibatan ekonomi rakyat Kedah berasaskan digital yang diterjui kementeriannya.
"Saya berpuas hati dengan usaha yang dijalankan di Pusat Ekonomi Digital (PEDi) RP Seberang Terus, Alor Setar oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam membantu masyarakat menerusi aktiviti berteraskan ekonomi digital.
"PEDi akan terus memastikan transformasi ekonomi digital dapat dijayakan mencakupi pelbagai latihan berasaskan teknologi maklumat.
"Saya juga telah merasmikan Hab Rangkaian Gentian Optik Point of Presence (PoP) Zon Utara di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Terap, Kuala Nerang. Inisiatif PoP ini akan memberi manfaat kepada penduduk dalam radius 2.5 hingga 3 kilometer
menikmati perkhidmatan Internet Jalur Lebar Talian Tetap (JLTT).
"Penyediaan infrastruktur gentian optik di kawasan sekitar sekolah ini akan mengurangkan kesenjangan digital kepada penduduk setempat malahan akan turut membantu proses pembelajaran dengan capaian Internet yang lebih baik," katanya.
Selain itu, dalam lawatan 2 hari itu Fahmi juga turut mengumumkan Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap (Home Internet) yang menawarkan perkhidmatan dengan kelajuan sehingga 30 Mbps dan data tanpa had berharga hanya RM69 sebulan
Pakej tersebut diharap dapat membantu golongan B40, veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM), pesara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Orang Kurang Upaya (OKU) serta warga emas dengan kerjasama syarikat penyedia perkhidmatan utama.
"Lawatan kerja selama dua hari ini juga memberikan saya peluang bertemu warga kerja Jabatan dan Agensi KKD Kedah menerusi sesi dialog awam (town hall) untuk mendapatkan maklum balas secara terus bagi menambah baik penyampaian perkhidmatan kementerian," katanya.