Sikap pembangkang mempolitikkan segala perkara amat dikesali.
Terbaharu pembangkang terutama pemimpin dan penyokong Pas mempolitikkan bencana tanah runtuh di tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Gohtong Jaya di Batang Kali, kononnya pemimpin politik Kerajaan Persekutuan menghalang unit amal di bawah parti itu untuk membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa kejadian.
Bagi mantan Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Azman Ismail hal itu tidak sepatutnya berlaku sekiranya Pas mahu menjadi pembangkang yang baik.
"(Hal ini) suatu yang amat malang kerana (Pas) hendak mempolitikkan segala-galanya dan keadaan sekarang yang berlaku ialah satu tragedi yang meragut nyawa ramai orang.
"Tak sepatutnya sama sekali komen yang sedemikian. Pada saya inilah satu gambaran bahawa Pas masih tidak dapat 'move on' dengan keadaan mereka tidak mendapat menjadi kerajaan," katanya dipetik.
Tambahnya lagi, tragedi runtuhan tanah tidak boleh ditangani oleh unit sukarelawan yang tidak terlatih. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) menitikberatkan faktor tanah dan cuaca.
Oleh itu kata Dr Azman, unit amal parti politik atau badan sukarela lain perlu mengikut arahan pihak berkuasa untuk tidak ikut campur dalam kerja SAR di kawasan yang merbahaya dan boleh menyebabkan mereka pula ditimpa musibah.
"Jangan meremehkan kerja yang rumit untuk menyelamatkan nyawa dan memerlukan kepakaran tertentu. Itu malang sekali bagi saya," katanya.
Dua hari lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani menegaskan sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak dibenarkan berada di lokasi operasi mencari dan menyelamat (SAR) insiden tanah runtuh Batang Kali kerana operasi ini diketuai oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan tidak sesuai bagi orang awam untuk membantu operasi.
Comentarios