Kes Zara: Wanita KEADILAN kecam budaya fitnah melampau
- Suara Keadilan

- Sep 11
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Wanita KEADILAN mengecam keras budaya fitnah yang semakin berleluasa di media sosial hingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Dalam satu kenyataan, sayap parti itu menegaskan, fitnah yang dilempar seorang individu dengan mengaitkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mempunyai hubungan kekeluargaan dengan pengetua sekolah tempat Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir ditemui terjatuh baru-baru ini jelas melampaui batas moral, nilai kemanusiaan dan adab masyarakat.
Fitnah tersebut tegas mereka adalah berniat jahat dan bertujuan untuk merosakkan reputasi dan kredibiliti pemimpin kerajaan.
"Kita melihat bagaimana fitnah direkayasa secara jahat, liar dan penuh kebencian. Fitnah bukan sahaja mengaibkan individu, malah turut melibatkan maruah ahli keluarga yang telah tiada.
"Wanita KEADILAN merakamkan simpati dan solidariti kepada YB Fadhlina apabila nama Allahyarhamah ibunya dikaitkan secara tidak beradab dalam kes ini," menurut kenyataan itu.
Terdahulu, Fadhlina memaklumkan beliau telah membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak terbabit.
Ahli Parlimen Nibong Tebal itu menegaskan, langkah tersebut penting supaya menjadi pengajaran kepada semua.
Sementara itu, Wanita KEADILAN menzahirkan sokongan penuh kepada tindakan perundangan yang tegas untuk membendung budaya fitnah dari terus berleluasa.
Pada masa sama, mereka menyeru masyarakat agar tidak terikut-ikut menyebarkan fitnah atau membuat spekulasi tanpa asas, sebaliknya menghormati sensitiviti keluarga mangsa dengan memberi ruang kepada proses siasatan serta keadilan yang sedang dijalankan.
"Keadilan tidak boleh dipisahkan daripada kebenaran. Justeru, setiap fitnah mesti ditentang," tegas kenyataan itu.









Comments