Kes Zara Qairina: Tuntut kebenaran tetapi hormati proses undang undang
- Suara Keadilan

- Aug 9
- 2 min read

Parti Amanah Negara (AMANAH) menegaskan kematian tragis pelajar Sekolah Menengah Agama Berasrama Penuh di Sabah, Allahyarhamah Zara Qairina, tidak boleh dijadikan bahan perbincangan melulu di media sosial yang dipenuhi spekulasi dan cerita separuh masak.
Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, tindakan sesetengah pihak yang ghairah menjadi “hakim” di media sosial bukan sahaja mengguris hati keluarga mangsa, malah berpotensi menjejaskan siasatan polis.
"Sejak kes ini tular, pelbagai versi, dakwaan dan spekulasi timbul. Ada yang menuduh, ada yang membela, dan ada yang membuat kesimpulan sendiri tanpa menunggu hasil siasatan.
"Keadaan ini tidak membantu keluarga arwah, malah berpotensi mengganggu siasatan pihak berkuasa," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mahfuz sebaliknya memuji usaha Polis Diraja Malaysia yang sudah memanggil lebih 60 saksi, menyerahkan kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara, dan kini melengkapkan arahan termasuk menjalankan penggalian semula kubur Allahyarhamah untuk bedah siasat lanjut.
Sehubungan itu beliau memberi amaran supaya semua pihak bertenang dan berhenti menyebarkan tuduhan tanpa bukti. Perasaan keluarga Allahyarhamah juga, kata beliau, perlu dijaga dengan tidak menambah luka melalui fitnah atau khabar angin.
Manakala rakyat perlu yakin kepada pihak polis dan Peguam Negara untuk melengkapkan siasatan secara telus dan menyeluruh.
"Keadilan untuk adik Zara adalah tanggungjawab bersama, tetapi ia mesti dicapai melalui fakta dan proses undang-undang yang betul.
"Kita tidak mahu kebenaran terhalang hanya kerana kita tergesa-gesa menjatuhkan hukuman di medan media sosial
"Kebenaran itu tidak akan hilang — ia akan ditemui, jika kita bersabar dan berpegang pada proses yang betul," kata Mahfuz lagi.
Untuk rekod, Allahyarhamah Zara dipercayai terjatuh dari tingkat tiga dan ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama pada jam 4 pagi, 16 Julai lalu.
Mangsa disahkan meninggal dunia keesokkannya selepas menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu.









Comments