Kes Zara Qairina: 'Tumpu usaha cari kebenaran, bukan serang menteri'
- Suara Keadilan
- 20 minutes ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Tindakan segelintir pihak yang menggunakan isu kematian pelajar, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir untuk menyerang dan mendesak Menteri Pendidikan meletakkan jawatan disifatkan keterlaluan dan tidak wajar.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN, Nor Azam Karap (gambar), berkata kemarahan serta kesedihan masyarakat terhadap insiden tersebut seharusnya disalurkan kepada usaha mencari kebenaran, bukannya menuding jari atau mengeluarkan hinaan terhadap individu yang tidak terlibat secara langsung.
"Banyak hinaan dilontarkan kepada Menteri Pendidikan yang saya rasa tidak wajar dan tiada kena mengena pun dengan isu adik Zara.
"Kita sedih dengan tragedi yang menimpa adik Zara, tetapi itu bukan lesen untuk kita melakukan buli atau menghina pihak lain termasuk menteri dengan gelaran yang tidak sesuai," katanya dalam satu kenyataan.
Zara Qairina, murid sekolah menengah agama berasrama di Sabah dipercayai terjatuh dari tingkat tiga dan ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama pada jam 4 pagi, 16 Julai lalu.
Allahyarhamah disahkan meninggal dunia keesokkannya selepas menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu.
Sebagai rekod, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pada 18 Julai menziarahi keluarga mangsa di hospital bagi memastikan semua keperluan dan kebajikan termasuk sokongan psikososial disediakan.
Menerusi hantaran di laman sosial, pada hari yang sama beliau menyeru orang ramai menghormati privasi keluarga dan beri ruang sepenuhnya kepada siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.
Fadhlina turut memberi jaminan bahawa tindakan sewajarnya akan diambil berdasar kepada hasil siasatan pihak berkuasa.
Sementara itu, Mohd Azam dalam kenyataannya menegaskan semua pihak yang terlibat dalam siasatan sedang melakukan yang terbaik demi memastikan keadilan dapat ditegakkan untuk keluarga Zara Qairina.
Justeru beliau menyeru masyarakat memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh tanpa sebarang prejudis.