107 usahawan PKS terima manfaat Dana Usahawan Madani Selangor
- Azuan Ab Rahman

- 1 hour ago
- 1 min read

Kerajaan Selangor terus komited membantu usahawan mikro, kecil, dan sederhana (PKS) di negeri itu membangun perniagaan mereka.
Exco Keusahawanan, Mohd Najwan Halimi (gambar) berkata seramai 107 usahawan mikro dan kecil dari negeri itu sudah menerima manfaat Dana Usahawan Madani Selangor (DUMS) 2026 membabitkan peruntukan berjumlah RM2 juta.
Jelasnya, insiaitif itu menawarkan geran bantuan berbentuk mesin, peralatan, atau perkakasan perniagaan bernilai sehingga RM30,000 kepada usahawan layak bagi meningkatkan kapasiti operasi, produktiviti dan daya saing perniagaan sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
"DUMS bertujuan membantu usahawan meningkatkan kapasiti operasi, produktiviti serta daya saing perniagaan melalui bantuan peralatan dan aset yang bersesuaian dengan keperluan sebenar perniagaan mereka," katanya dalam kenyataan.
Tambah Mohd Najwan, DUMS 2026 turut memperkenalkan sistem pemantauan pasca bantuan yang ditaja Yayasan Menteri Besar Selangor bagi membolehkan prestasi perniagaan penerima dipantau secara berkala.
Menerusi sistem tersebut, impak bantuan terhadap peningkatan hasil dan operasi perniagaan diukur bagi membantu Kerajaan Negeri merancang program keusahawanan yang lebih berkesan pada masa hadapan.
"Pendekatan ini menjadikan DUMS bukan sekadar program bantuan, tetapi sebuah ekosistem pembangunan usahawan yang menekankan keberhasilan dan pertumbuhan jangka panjang," katanya.




Comments