Kes Zara Qairina: Kanak kanak dihadap ke mahkamah dilindungi identiti
- Suara Keadilan

- Aug 19
- 2 min read

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menegaskan semua pihak, termasuk media dan orang awam, agar memastikan hak kanak-kanak dilindungi sepenuhnya dalam prosiding melibatkan kes kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Dalam kenyataan hari ini, SUHAKAM mengambil maklum mengenai pertuduhan terhadap lima orang kanak-kanak dan menekankan bahawa identiti mereka tidak boleh didedahkan sama sekali, sejajar dengan Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611].
"Kanak-kanak berhak mendapat perlindungan penuh di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611], termasuk sokongan berasaskan trauma, khidmat perundangan dan layanan yang adil
"Identiti mereka tidak boleh didedahkan secara langsung atau tidak langsung. Nama, gambar, sekolah atau sebarang maklumat yang boleh membawa kepada pengenalan diri mereka tidak boleh didedahkan kepada umum," tegas kenyataan itu.
Menurut SUHAKAM, pendedahan identiti adalah kesalahan di bawah Seksyen 15 Akta 611, yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Suruhanjaya itu turut menegaskan bahawa prosiding Mahkamah Bagi Kanak-Kanak adalah tertutup di bawah Seksyen 12 Akta 611, dan hanya pihak terlibat secara langsung dibenarkan hadir.
"Fokus utama SUHAKAM adalah untuk mencegah daripada berlakunya stigma terhadap kanak kanak yang terlibat. Kami ingin mengingatkan orang awam bahawa perbuatan membuli, sama ada di sekolah mahupun dalam talian, sama sekali tidak boleh diterima," tambah kenyataan tersebut.
Dalam masa sama, platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok digesa mengemaskini dasar dalaman mereka agar lebih proaktif mengenal pasti serta memadam kandungan yang melanggar undang-undang.
"Sebarang kandungan yang diterbitkan dan boleh mengenal pasti kanak-kanak berpotensi menambah mudarat kepada mereka, sama ada secara tidak sengaja atau berniat jahat.
"Untuk mengambil tindakan menurunkan kandungan hanya selepas menerima permohonan mungkin membolehkan bahan yang menyalahi undang-undang dan berbahaya tersebar secara meluas, sekali gus menggagalkan tujuan perlindungan undang-undang," menurut SUHAKAM.
Suruhanjaya itu menegaskan bahawa kegagalan bertindak segera boleh dianggap sebagai bersubahat dalam pendedahan yang menyalahi undang-undang, sambil mengingatkan bahawa keadilan perlu dilaksanakan mengikut prinsip hak kanak-kanak dan kedaulatan undang-undang.









Comments