Kes Zara: Pakar patalogi palsu bakal dihadapkan ke mahkamah - Fahmi
- Suara Keadilan

- Sep 3
- 1 min read

Lelaki yang menyamar sebagai doktor dan mendakwa terbabit dalam proses bedah siasat kematian remaja perempuan berusia 13 tahun, Zara Qairina Mahathir disahkan sebagai doktor palsu.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil (gambar) berkata, individu di sebalik akaun TikTok 'Dato Prof Dr Tunku Iskandar' itu bakal dihadapkan ke mahkamah dalam masa terdekat.
Bagaimanapun jelasnya, sebarang maklumat lanjut mengenai pertuduhan perlu dirujuk kepada pihak polis kerana Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hanya bertindak sebagai agensi teknikal.
"Doktor itu palsu. Dia akan dihadapkan ke mahkamah," kata Fahmi dipetik pada Persidangan Grand Prix Kecerdasan Buatan (AI) 2025 di Kuala Lumpur semalam.
Zara dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah agama di Papar pada 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya.
Orang ramai mendesak insiden tersebut disiasat susulan ada dakwaan mengaitkan insiden itu dengan buli.
Bagaimanapun, di sebalik tuntutan mencari kebenaran, siasatan rasmi dicemari dengan pelbagai spekulasi dan berita palsu yang berlegar di media sosial.
Selain dakwaan palsu lelaki itu kononnya hasil bedah siasat menunjukkan unsur jenayah, turut ditahan sebelum ini ialah seorang guru yang membuat dakwaan kononnya Zara didera dengan dimasukkan ke dalam mesin basuh.
Pihak berkuasa sebelum ini telah memberi amaran, sebarang penyebaran berita palsu selain mengelirukan orang ramai akan mengganggu proses undang-undang serta menambah lagi luka keluarga mangsa.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek telah mengingatkan masyarakat agar menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada pihak berkuasa, bukan mensensasikan insiden itu dengan menambah fitnah di media sosial.
Namun, meskipun penjelasan rasmi sudah berkali-kali disuarakan, segelintir masyarakat masih memilih untuk mempercayai naratif sensasi dan palsu.









Comments