Kes Zara: Mustahil mangsa dimasukkan ke dalam mesin basuh
- Suara Keadilan
- 20 minutes ago
- 1 min read

Tindakan memasukkan pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir ke dalam mesin basuh adalah sesuatu yang mustahil untuk dilakukan, kata seorang Pakar Patologi Forensik di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu Sabah.
Menurut laporan Bernama, Dr Jessie Hiu berpendapat, perkara tersebut tidak mungkin terjadi disebabkan oleh faktor berat mangsa.
Dr Hiu mengutarakan pandangannya itu ketika disoal pengendali prosiding, Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan II, Datuk Badius Zaman Ahmad pada hari kedua inkues kematian Zara.
Badius Zaman: Doktor, adakah anda menjumpai mesin basuh ketika lawatan ke tempat kejadian?
Dr Hiu: Ya, terdapat satu, di tingkat bawah, berhadapan dengan tangga.
Badius Zaman: Doktor, adakah anda tahu saiz mesin basuh itu?
Dr Hiu: Ia merupakan mesin basuh domestik, bukan industri.
Badius Zaman: Adakah mangsa boleh dimasukkan ke dalam mesin basuh?
Dr Hiu: Saya tidak memeriksa saiz dram mesin basuh tersebut. Saya dimaklumkan mangsa mempunyai berat 53 kilogram, dan saya tidak fikir mesin itu boleh berfungsi dengan beban seberat 53 kilogram.
Untuk rekod, Dr Hiu yang berkhidmat di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth sejak 1998 itu secara purata telah mengendalikan dan menyelia 100 hingga 150 bedah siasat setiap tahun.
Pengamal perubatan itu juga kerap dipanggil menjadi saksi pakar di Mahkamah Majistret, Sesyen dan Tinggi di Sabah serta Labuan.