Kes Yusoff Rawther: Pembangkang jangan putar belit sehingga hina mahkamah
- Suara Keadilan
- Jun 19
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Semua pihak termasuk pembangkang mesti memberi ruang kepada mahkamah untuk menilai dan memutuskan kes Yusoff Rawther yang didakwa memiliki dadah dan pistol tiruan secara adil berdasarkan fakta undang-undang tanpa sebarang tekanan politik atau spekulasi liar.
Demikian kata Pengerusi Biro Guaman KEADILAN Pulau Pinang, Darwin Lim Chee Chien yang menegaskan bahawa sebarang pertikaian berkaitan kes undang-undang mesti diselesaikan melalui saluran yang sah di mahkamah dan bukannya di media sosial atau di pentas politik.
Katanya, tindakan Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuktikan badan kehakiman berfungsi secara bebas dan profesional demi kepentingan rakyat, tanpa dipengaruhi sebarang tekanan atau agenda politik.
''Malangnya, pihak pembangkang telah cuba memutarbelitkan proses kehakiman ini dengan mengaitkannya secara tidak bertanggungjawab kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

''Tuduhan sedemikian bukan sahaja tidak berasas, malah berniat jahat dan jelas merupakan fitnah politik murahan.
''Saya ingin menegaskan bahawa kes ini melibatkan dakwaan jenayah peribadi yang langsung tiada kaitan dengan Perdana Menteri,'' katanya dalam kenyataan.
Tidak hanya itu, Darwin turut menegaskan bahawa dakwaan kononnya AGC berada di bawah kawalan Jabatan Perdana Menteri (JPM) adalah tidak benar sama sekali.
Katanya, AGC merupakan badan agensi yang menjalankan fungsinya secara bebas berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.
''Cubaan pihak pembangkang untuk memberi tafsiran salah terhadap keputusan Mahkamah dan proses rayuan ini boleh dianggap sebagai percubaan menghina Mahkamah.
''Institusi kehakiman negara adalah bebas dan tidak wajar dijadikan alat propaganda politik.
''Maka, pihak berkuasa wajar mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau pihak yang menyebarkan tafsiran berniat jahat, berunsur hasutan atau cuba merosakkan keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman negara,'' katanya yang juga Naib Ketua Cabang KEADILAN Batu Kawan.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Yusoff Rawther daripada pertuduhan memiliki dadah dan pistol tiruan selepas mendapati tiada kes prima facie terhadapnya. Pendakwaan memanggil 13 saksi termasuk pegawai penyiasat dan ahli kimia, namun gagal membuktikan elemen penting dalam kedua-dua pertuduhan.
Bagaimanapun pembangkang mendakwa terdapat konspirasi dalam kes ke atas Yusoff dan secara tanpa bukti mengaitkannya dengan PM Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Comments