Kes rogol: Kemuka segera pelan intervensi, pencegahan lindungi pelajar
- Suara Keadilan

- Oct 13
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Melaka mengemukakan lima cadangan intervensi dan pencegahan jangka panjang bagi memastikan kejadian kes rogol pelajar bawah umur yang berlaku di negeri tersebut tidak berulang.
Biro Pendidikan dan Mahasiswa AMK Melaka, Haikal Hatta (gambar) berkata, kerajaan perlu memastikan ketelusan dan keadilan sepenuhnya tanpa sebarang campur tangan meskipun siasatan sedang dijalankan.
Beliau menegaskan, pelaku mesti dikenakan tindakan undang-undang dan disiplin tanpa kompromi.
Katanya, cadangan kedua adalah tentang persekitaran sekolah yang selamat dan mekanisme keselamatan sekolah perlu dikaji semula termasuk rondaan berkala, pemantauan kawasan tertutup dan saluran laporan sulit untuk pelajar.
''Seterusnya, mangsa dan keluarga perlu diberi akses kepada kaunseling trauma dan perlindungan sosial secara berterusan bagi memastikan pemulihan secara menyeluruh.
''Mangsa dan keluarga juga perlu diberikan akses kepada kaunseling trauma serta perlindungan sosial secara berterusan bagi memastikan pemulihan menyeluruh.
''Kerajaan dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu memperkukuh pendidikan moral, kesedaran seksual dan hormat diri dalam kurikulum agar pelajar dididik memahami batas dan tanggungjawab sosial sejak kecil.
''Akhir sekali, kerajaan digesa membentangkan segera pelan intervensi dan pencegahan menyeluruh bagi memastikan sistem pendidikan negara benar-benar melindungi pelajar dan tidak mengulangi tragedi yang sama,'' katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Haikal, AMK Melaka memandang serius insiden rogol yang melibatkan pelajar bawah umur di negeri berkenaan seperti dilaporkan media baru-baru ini.
Katanya, kes itu telah mencetuskan kebimbangan besar dalam kalangan masyarakat mengenai tahap keselamatan pelajar di sekolah, iaitu sebuah institusi yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat bagi anak-anak.
Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya menyambut baik tindakan pantas pihak berkuasa yang telah memulakan siasatan terhadap kes tersebut.
Media sebelum ini melaporkan, pelajar perempuan Tingkatan 3 sebuah sekolah di Alor Gajah mengalami trauma selepas dipercayai dirogol dua pelajar senior di dalam kelas sambil kejadian dirakam menggunakan telefon bimbit dan dilihat dua pelajar lain.
Kejadian menimpa mangsa berusia 15 tahun itu terbongkar selepas ibunya mendapat maklumat mengenai penyebaran video aib anak sulungnya itu daripada guru sekolah sebelum membawa mangsa untuk pergi membuat laporan polis.









Comments