top of page

Kes rogol: Buang sekolah langkah tepat, KPM lindung keselamatan pelajar

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 8 minutes ago
  • 1 min read

ree

Oleh: Helmi Foad


Wanita KEADILAN menyifatkan tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membuang sekolah empat pelajar yang disyaki terlibat dalam kes rogol di sebuah sekolah di Melaka sebagai langkah tegas dan tepat bagi melindungi keselamatan serta maruah pelajar lain.


Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat, Datuk Ginie Lim (gambar) berkata, keputusan itu membuktikan komitmen KPM untuk meletakkan keselamatan, kebajikan dan maruah mangsa sebagai keutamaan tertinggi.


"Perbuatan rogol merupakan satu tindakan keganasan yang sangat dahsyat serta meninggalkan trauma psikologi, fizikal dan emosi yang berpanjangan.


"Keputusan ini wajar agar kejadian seumpama tidak berulang serta memberi mesej jelas bahawa jenayah seksual tidak boleh dikompromi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Menurutnya, tindakan Lembaga Tatatertib Sekolah menjatuhkan hukuman buang sekolah terhadap semua suspek menunjukkan ketegasan pihak berkuasa pendidikan dalam menangani kes serius melibatkan pelajar.


Dalam masa sama, Ginie berkata jenayah seksual di sekolah harus menjadi peringatan kepada ibu bapa, guru, masyarakat sivil dan kerajaan agar berganding bahu memperbaiki kelemahan sistem pendidikan sedia ada.


"Isu ini perlu dilihat secara menyeluruh, bukan sekadar hukuman kepada pelaku tetapi bagaimana kita boleh membina persekitaran sekolah yang lebih selamat serta menanam nilai moral dan etika kepada pelajar," ujarnya.


Beliau turut merujuk peringatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan insiden itu mencerminkan kelemahan sistem pendidikan yang terlalu menekankan aspek akademik tetapi mengabaikan pembentukan nilai moral dan akhlak.


"Wanita KEADILAN komited untuk terus melawan keganasan terhadap wanita dalam apa jua bentuk.


"Status bawah umur bukan alasan untuk melepaskan seseorang daripada tanggungjawab terhadap kesalahan yang dilakukan," tegasnya.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page