Kes pembunuhan Wan Ahmad Faris akan dibuka semula - Menteri KDN
- Suara Keadilan

- Aug 21
- 1 min read

Polis akan membuka semula siasatan kes kematian pelajar tahfiz, Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman, yang ditemui meninggal dunia di sebuah sekolah tahfiz di Kok Lanas pada Disember 2013.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan perkara itu ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Rabu.
"Keluarga (Allahyarham) Faris kata ada kewajaran untuk dilihat semula. Saya hendak beritahu... ya, polis akan buka semula (siasatan).
"Saya sudah berbincang dengan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, polis kata tiada masalah untuk buka balik siasatan itu," katanya.
Allahyarham Wan Ahmad Faris, ketika itu pelajar Tingkatan Empat ditemui tergantung dalam tandas asrama Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas - sebuah institusi di bawah naungan Kerajaan Negeri.
Hasil bedah siasat mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut tanpa kaitan dengan unsur jenayah.
Namun, Mahkamah Koroner pada Jun 2016 memutuskan kematian Wan Ahmad Faris adalah akibat dibunuh dan kes kemudiannya ditutup pada 2020 dengan status tiada tindakan lanjut (NFA).
Tidak putus asa menuntut keadilan untuk anaknya, Ruhani Hussin, 70, pada Isnin lalu menyerahkan surat rasmi kepada polis Bukit Aman mendesak siasatan dijalankan semula.
Dalam perkembangan berkaitan, Ruhani sebaik dimaklumkan keputusan kerajaan yang akan membuka semula siasatan kes menzahirkan rasa syukur.
"Ini yang saya perjuangkan selama ini dan semestinya saya mahu pelaku yang membunuh anak saya dibawa ke muka pengadilan," katanya.









Comments