top of page

Kes Najib: Tidak campur urusan UMNO, hanya pertegas kedaulatan undang undang - AMK Wilayah

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 28 minutes ago
  • 2 min read

ree

Oleh: Akmal Manaf


Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Wilayah Persekutuan menegaskan mereka tidak mempunyai sebarang kepentingan untuk mencampuri urusan dalaman UMNO, sebaliknya hanya tampil mempertahankan prinsip dan institusi negara.


Ketuanya, Asheeq Ali Sethi Alivi (gambar) berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang kenyataan yang menghina, merendahkan atau menjejaskan kewibawaan institusi negara, khususnya Institusi Kehakiman.


Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan balas Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan Datuk Aliff Firdaus Abd Hadi yang disiarkan sebuah portal berita semalam yang bertajuk ‘Titah Addendum. Jangan Campur Urusan Kami’.


"Prinsip ini terpakai kepada semua pihak tanpa pengecualian, tanpa mengira individu atau latar parti.


"Sehubungan itu, nasihat kepada Saudara Aliff Firdaus adalah mudah dan berterus terang. Sekiranya tidak mahu ditegur secara terbuka, maka jagalah tutur kata.


"Setiap kenyataan wajar berlandaskan fakta, disampaikan secara tertib dan menghormati tonggak institusi negara, bukannya membina persepsi liar yang mengelirukan rakyat.


"Untuk berlaku adil, kami juga tidak pernah menghalang mana-mana pihak daripada mengkritik atau mempersoalkan keputusan Mahkamah, namun kritikan tersebut mesti dibuat secara berasas, beradab dan tidak melampaui batas sehingga mencalarkan prinsip kedaulatan undang-undang," katanya dalam satu kenyataan.


Berhubung gesaan supaya beliau menegur DAP, Asheeq Ali menegaskan, perkara itu telah dilakukannya dalam kenyataan terdahulu.


"Teguran terhadap mana-mana pihak yang bertindak tidak wajar, termasuk dalam kalangan rakan Kerajaan Perpaduan, telah pun dibuat secara terbuka dan berprinsip.


"Saudara Aliff juga mendakwa bahawa 'tidak pernah wujud kenyataan biadab daripada pemimpin UMNO atau Barisan Nasional (BN) ketika pemimpin kami berdepan hukuman sebelum ini'.


"Mungkin ada yang memilih untuk 'lupa', namun kami tidak. Walau bagaimanapun, AMK Wilayah Persekutuan mengambil pendirian untuk tidak mengungkit perkara lama dan sebaliknya menghormati pendirian UMNO dalam membela Datuk Seri Najib Razak, atas dasar kerjasama politik yang telah terjalin sepanjang tiga tahun Kerajaan Perpaduan.


"Namun harus difahami dengan jelas bahawa sikap berlapang dada dan menghormati pendirian rakan politik tidak boleh ditafsir sebagai kelemahan atau kesediaan untuk berdiam diri apabila batas kesopanan dan prinsip perlembagaan dilanggar," katanya lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page