Kes Najib: Tiada keperluan 'simbah minyak dalam api' - Ong Kian Ming
- Suara Keadilan

- Dec 23, 2025
- 2 min read

Seorang bekas pemimpin DAP menegur bahawa tiada sebab untuk 'meraikan' atau 'menyapu garam pada luka' berhubung keputusan Mahkamah Tinggi menolak rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Dr Ong Kian Ming berkata, keputusan itu dibuat ketika Najib telah menjalani hukuman penjara lebih tiga tahun bermula 23 Ogos 2022 dengan kesihatannya menjadi kebimbangan yang berulang kali dibangkitkan oleh ahli keluarga beliau.
"Najib ialah satu-satunya bekas Perdana Menteri yang pernah menjalani hukuman penjara (Anwar Ibrahim menjalani hukuman penjaranya sebelum beliau menjadi Perdana Menteri).
"Ia bukan sesuatu yang mudah bagi mana-mana individu berusia 72 tahun untuk menjalani hukuman penjara, lebih-lebih lagi jika beliau adalah bekas Perdana Menteri dan ahli aristokrat negara.
"Saya akan berasa terbeban dan sedih jika berada di tempat mana-mana anak atau cucu Najib, memikirkan bagaimana ayah dan datuk mereka duduk sendirian di Penjara Kajang, sementara kebanyakan orang lain menikmati cuti hujung tahun dan menyambut musim perayaan bersama keluarga dan rakan-rakan," katanya dalam hantaran di Facebook.
Kian Ming yang juga bekas Ahli Parlimen Bangi mengingatkan negara ini sudah cukup berpecah akibat politik perkauman dan keagamaan, termasuk selepas rombakan Kabinet baru-baru ini.
Justeru itu, beliau menyatakan bahawa tiada keperluan untuk 'menyimbah minyak ke dalam api' dengan membuat kenyataan atau mengeluarkan kenyataan media yang berkemungkinan menyemarakkan sentimen sebegini dalam kalangan pelbagai komuniti.
"Kenyataan sedemikian bukan sahaja kelihatan “tidak peka”, malah mengabaikan perasaan ramai dalam komuniti Melayu.
"[Mereka]... mungkin tidak semestinya menyokong tindakan Najib dalam isu 1MDB, tetapi pada masa sama tidak mahu melihat seorang bekas Perdana Menteri diaibkan," katanya.
Dalam pada itu, Kian Ming berpendapat ramai peguam dan sarjana undang-undang bersetuju dengan alasan penghakiman oleh Hakim Alice Loke Yee Ching memandangkan titah adendum tidak dibincangkan mahupun diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan.
"Maka ia tidak mematuhi Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu bukan satu perintah yang sah," ujarnya.
Bagaimanapun jelas beliau tindakan “meraikan” keputusan mahkamah itu boleh melemahkan keupayaan Kerajaan Madani sepanjang baki tempoh dua tahun akan datang selain mengancam kebarangkalian wujudnya perjanjian pilihan raya antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional sebelum dan selepas pilihan raya umum akan datang.
"Siapa tahu, ini mungkin menjadi salah satu tindakan yang mendorong BN untuk mencari kerjasama yang lebih rapat dengan PN menjelang pilihan raya akan datang, yang akhirnya merugikan PH dan para penyokongnya," ujarnya.
Beliau berpendapat sudah tiba masanya untuk kerajaan memulakan satu perbincangan serius pada tahun depan mengenai kemungkinan pengampunan penuh terhadap Najib.
Katanya meskipun beliau pernah menyifatkannya sebagai “garisan merah” DAP, perkembangan politik terkini termasuk DNAA terhadap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta cadangan “Grand Amnesty” oleh bekas menteri Khairy Jamaluddin telah mempengaruhi pendiriannya.
Katanya cadangan tersebut bertujuan mewujudkan satu “reset politik” dengan menghentikan pendakwaan bermotif politik demi kematangan dan perdamaian nasional.
"Dalam semangat Krismas, semoga kita dapat memaafkan, walaupun tidak semestinya melupakan, demi harapan mencapai matlamat yang lebih besar iaitu perdamaian, agar kita dapat perlahan-lahan tetapi pasti menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih baik untuk kita dan generasi yang akan datang," katanya.









Comments