Kes Najib: Keputusan mahkamah bukan penderhakaan kepada institusi Raja
- Suara Keadilan

- Dec 23, 2025
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Keputusan Mahkamah Tinggi berhubung penolakan Titah Adendum (tambahan) berkaitan isu tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak bukanlah satu penderhakaan atau penghakisan kuasa Raja-raja Melayu, sebaliknya mencerminkan kepatuhan semua pihak termasuk Yang di-Pertuan Agong (YDPA) terhadap Perlembagaan Persekutuan,
Pengarah Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama KEADILAN, Amidi Abdul Manan (gambar) berkata, tiada keperluan untuk pihak-pihak yang mewakili Najib atau yang bersimpati dengan beliau, mengkritik dan menggunakan label 'penderhakaan' kepada institusi Raja-Raja Melayu atau mendakwa ia satu penghakisan kuasa Raja-Raja Melayu apabila titah itu tidak dikuatkuasakan.
"Sedangkan dari sudut lain ia adalah satu kepatuhan kepada Perlembagaan Persekutuan. Semua pihak perlu akur termasuklah YDPA sendiri.
"Inilah tanda-tanda besar reformasi yang sedang berlaku dalam pentadbiran negara. Tidak perlu menunggu sehingga enam bulan seperti yang diugut oleh 'rakan seperjuangan' yang mendakwa amat memahami makna reformasi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Amidi lagi, apabila mahkamah membuat keputusan sedemikian, ia memperlihat kebebasan dan keadilan yang menjadi teras sistem perundangan negara.
"Bersyukurlah kita dengan kurniaan Allah yang mengurniakan kita sistem perundangan yang sedemikian sifatnya," ujar beliau yang juga merupakan Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN.
Bagi Amidi, sekiranya pihak Najib ingin terus merayu hukumannya maka beliau boleh melakukannya dengan mengemukakan rayuan baharu kepada Agong semasa, Sultan Ibrahim.
"Jika pihak DS Najib Razak masih mahukan keistimewaan tersebut, bolehlah mengemukakan permohonan kepada KDYMM SPB YDP Agong Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar," ujarnya.
Manakala, katanya, kegembiraan kepada rakyat prihatin adalah tertegaknya negara hukum yang diperjuangkan oleh reformis sejak dua dekad lalu dengan keputusan mahkamah berkenaan.
Bagaimanapun, beliau menolak segelintir ahli politik yang mengungkap secara sinis keputusan kes Titah Adendum semalam yang disifatkannya tidak wajar dilakukan.
"'Sebab kegembiraan' bukanlah kerana DS Najib Razak terus terkurung di penjara, tetapi kegembiraan melihat rakyat semakin yakin dengan sistem perundangan negara.
"Kegembiraan yang didasari kebencian adalah kegembiraan yang busuk dan tidak patut terjelma dari seorang pemimpin, tambahan pula pemimpin yang berada dalam satu pemuafakatan," katanya lagi.
Semalam, Najib dilaporkan kekal menjalani baki hukuman penjaranya di Penjara Kajang bersabit kesalahan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching, menolak permohonan semakan kehakiman Najib yang juga mantan Presiden UMNO, bagi memaksa kerajaan dan enam yang lain untuk melaksanakan Titah Adendum supaya beliau menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah.
Yee Ching memutuskan demikian selepas berpuas hati isu berkaitan tahanan rumah tidak pernah disebut dan dibincangkan serta diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu.









Comments