top of page

Kes Najib: Hormati keputusan mahkamah, kekal prinsip pengasingan kuasa - PM

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 days ago
  • 1 min read

ree

Oleh: Akmal Manaf


Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) menyeru semua pihak agar menangani isu Titah Adendum Datuk Seri Najib Razak dengan sabar dan bijaksana.


Katanya, walaupun ada pihak tidak menzahirkan simpati kepada Najib dan keluarganya, adalah tidak wajar mengeruhkan suasana atau menambah ketegangan dalam keadaan yang sensitif ini.


"Kerajaan MADANI kekal berpegang teguh kepada prinsip penegakan negara hukum serta pengasingan kuasa.


"Badan kehakiman mesti dan akan terus bebas daripada sebarang pengaruh luar. Atas prinsip inilah saya menghormati keputusan yang telah dibuat oleh Hakim.


"Maka, atas prinsip kedaulatan undang-undang, semua pihak wajar menghormati keputusan yang telah dibuat oleh Hakim, termasuk ruang dan saluran perundangan yang masih tersedia untuk mengemukakan rayuan, selain kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) selaras dengan peruntukan undang-undang yang ada," katanya dalam muat naik di media sosial.


Semalam, Najib dilaporkan kekal menjalani baki hukuman penjaranya di Penjara Kajang bersabit kesalahan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.


Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching, menolak permohonan semakan kehakiman Najib yang juga mantan Presiden UMNO, bagi memaksa kerajaan dan enam yang lain untuk melaksanakan Titah Adendum supaya beliau menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah.


Yee Ching memutuskan demikian selepas berpuas hati isu berkaitan tahanan rumah tidak pernah disebut dan dibincangkan serta diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page