top of page

Kes kematian dalam lokap tiada penyelesaian: Tubuhkan IPCMC segera


Kes kematian tahanan dalam lokap seolah-olah tiada penyelesaian sejak sedekad lalu.


Menurut Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Pulau Pinang, A. Kumaresan, kematian terbaharu A Ganapathy dan kematian lain yang berterusan membuktikan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerlukan satu badan pemerhati dan pengawas bagi memantau Standard Prosedur Operasi ketika mereka menjalankan tugas.


Sehubungan itu, beliau yang juga ADUN Batu Uban mahu Suruhanjaya Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang tertangguh penubuhannya sejak hampir sedekad lalu direalisasikan sesegera mungkin.


"Saya menggesa Kerajaan untuk tidak melambatkan lagi proses menubuhkan IPCMC bagi memberikan penyelesaian terhadap kes kematian dalam lokap polis.


"Kerajaan seharusnya mendengar pandangan parti politik dan rakyat Malaysia untuk segerakan menubuhan IPCMC menyelamatkan keadaan demi menegakkan keadilan dan maruah PDRM.


"Ini bukan kes baru kematian dalam lokap, sebelum ini beberapa tahanan seperti mendiang P. Karuna, Dharmendran dan R. Jamesh Ramesh juga meninggal dunia ketika dalam tahanan.


"Selain itu, ada juga beberapa individu yang ditahan oleh polis untuk penyiasatan mendakwa telah dipukul dan dibuli. Misalnya, Jayeendiran Kumaresan mendakwa polis menuang air tandas ke hidungnya ketika dia ditahan untuk siasatan kes rompakan," katanya dalam satu kenyataan.


Bagi Ketua Angkatan Muda KEADILAN Bayan Baru itu, pengabaian nasib individu yang disiasat tidak wajar diterima dalam sebuah negara bertamadun seperti Malaysia.


Katanya, perlu ada pihak yang dipertanggungjawabkan dalam apa sahaja prosedur siasatan. PDRM menurutnya perlu memberi jaminan individu yang sihat ketika diambil untuk siasatan dikembalikan dalam keadaan sama kepada keluarga mereka.


"Oleh itu, penubuhan IPCMC ini harus disegerakan untuk menamatkan titik hitam kes kematian dan penderaan dalam lokap polis.


"Jawatankuasa IPCMC perlu terdiri daripada golongan profesional yang bebas daripada sebarang pengaruh dalam kerajaan dan politik bagi membolehkan hasil siasatan telus dan tidak dimanipulasi.


"Ketika ini maklum balas dari orang ramai merasakan kebimbangan mereka terhadap isu kematian dalam lokap. Orang ramai juga berpendapat lokap polis tidak lagi selamat," katanya.


Baru-baru ini, Ganapathy yang ditahan untuk soal siasat berhubung kes rompakan telah meninggal dunia.


Menurut laporan polis yang difailkan oleh ibunya, S. Thanaletchumy, 60, anaknya telah ditangkap pada 24 Februari untuk membantu polis dalam siasatan terhadap salah seorang saudaranya.


Laporan Thanaletchumy juga mendakwa anaknya telah dipukul semasa dalam tahanan sehingga mengakibatkan pemotongan kakinya. Mendiang Ganapathy didakwa telah dinafikan hak untuk menerima rawatan perubatan sepanjang tahanan.


0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page