top of page

Kes denggi Selangor turun 61 peratus, bukti tindakan bersepadu berkesan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jan 16
  • 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman


Kes demam denggi di Selangor sepanjang 2025 mencatat penurunan ketara sebanyak 61 peratus, sekali gus membuktikan keberkesanan usaha bersepadu yang digerakkan.


Bagi tempoh 1 Januari 2025 hingga 3 Januari 2026, sebanyak 23,565 kes dilaporkan berbanding 60,364 kes bagi tempoh sama tahun sebelumnya, manakala jumlah kematian turut menurun kepada sembilan kes berbanding 16 pada 2024.


Exco Kesihatan Awam, Jamaliah Jamaluddin (gambar) berkata, kejayaan itu hasil kerjasama berterusan Kerajaan Negeri, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi berkaitan serta penglibatan aktif komuniti dalam kawalan dan pencegahan denggi.


"Usaha ini tidak boleh bersifat bermusim. Kerajaan Negeri komited mengekalkan trend penurunan melalui pendekatan bersepadu dan berterusan," katanya dalam kenyataan.


Secara keseluruhan, Selangor berada di kedudukan ketiga negeri mencatat penurunan kes denggi tertinggi pada 2025, di belakang Perak (73 peratus) dan Perlis (70 peratus). Pencapaian itu lebih signifikan memandangkan Selangor mempunyai populasi melebihi tujuh juta orang serta kawasan bandar yang padat.


Sementara itu menurut Jamaliah, sebagai memperkasa usaha pencegahan dan kawalan denggi, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM4 juta menerusi Belanjawan Selangor 2026 bagi membolehkan pelaksanaan strategi lebih menyeluruh.


Selain itu, kempen Kembara Kesedaran Denggi juga akan diteruskan dengan penambahbaikan dan penyertaan lebih ramai komuniti, selain memperkasakan peranan pasukan Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA).

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page