
Kes dadah melibatkan anak seorang hartawan Malaysia tiga tahun lalu yang dijatuhi hukuman ringan menimbulkan tanda tanya sama ada bekas Peguam Negara, Thommy Thomas berwibawa dalam melaksanakan tugasnya.
Menurut Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Aizuddin Ariffin, tuduhan ke atas anak hartawan itu yang dipinda daripada seksyen 39B/39A Akta Dadah Berbahaya, membawa kepada hukuman mati atau penjara seumur hidup kepada seksyen 15 (1) akta yang sama, iaitu denda beberapa ribu ringgit dan pengawasan, menimbulkan tanda tanya.
"Saya juga merujuk kepada kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datok Ayob Khan Mydin Pitchay mengenai satu siasatan yang telah diselesaikan berhubung dakwaan kes dadah melibatkan anak ahli perniagaan terkemuka Malaysia tiga tahun lalu.
"Walaupun saya bukan seorang pengamal undang- undang, saya berpendapat Thommy Thomas perlu memperi penjelasan terperinci terkait pindaan hukuman yang dijatuhkan kepada tertuduh, yang jauh lebih ringan berbanding seksyen 39B/39 A," katanya dalam satu kenyataan.
Tegas Aizuddin prinsip 'Rule of Law' tidak kelihatan dalam pendakwaan kes berkenaan. Apatah lagi ketika itu, katanya, terdapat kes seorang Orang Kena Tuduh disabitkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan kerana hanya menanam 12 pokok ganja.
"Saya menempelak sebarang usaha ketidakadilan dan praktis amalan 'double standard ' dalam sistem perundangan negara. Undang-undang dan hukuman tidak sepatutnya melihat kepada status dan darjat seseorang. Saya khuatir, undang undang dimanipulasi dan menjadi permainan golongan elit dan politikus.
"Satu siasatan segera ke atas Thommy Thomas bersabit hal ini perlu dijalankan sekiranya terdapat sebarang salah guna kuasa semasa beliau menjadi Peguam Negara di bawah pentadbiran PH.
"Sekadar penafian bahawa beliau tidak korup dan tidak menerima rasuah semasa menjawat jawatan peguam negara adalah tidak mencukupi. Rakyat berhak tahu apa yang berlaku," katanya lagi.
Aizuddin juga mahu Menteri Undang Undang dan pihak yang bersangkutan ketika kes itu berlaku bertanggungjawab dan menjelaskan keadaan.
Tambah Aizuddin, beliau menyokong usaha Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bersuara mengetengahkan isu berkenaan.
Beliau mahu pemimpin Pakatan Harapan yang lain turut sama bersuara bersama Anwar demi menegakkan hukum.
Opmerkingen