Kes Covid meningkat: KKM saran ambil dos penggalak ketiga
- Suara Keadilan
- Dec 15, 2023
- 1 min read

Kementerian Kesihatan (KKM) menyarankan pengambilan dos penggalak ketiga vaksin Covid-19 terutamanya bagi golongan berisiko tinggi ekoran peningkatan kes sejak kebelakangan ini.
Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata bekalan vaksin masih mencukupi bagi melindungi orang ramai daripada jangkitan mutasi dan strain baharu Covid-19 untuk pelaksanaan dos penggalak ketiga.
"Dos penggalak perlu untuk melindungi kumpulan rentan termasuk warga emas dan golongan komorbid yang mudah terdedah kepada risiko dan kesan memudaratkan.
"Kita (KKM) sedar ada sedikit peningkatan kes dan mutakhir adalah dalam lebih 12,000.
"Saya telah memberitahu Kabinet untuk maklum kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan ahli (Kabinet) akan situasi ini dan wajar kita berikan perhatian,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan kementerian di Putrajaya hari ini.
Semalam kes Covid-19 dalam negara meningkat kepada 12,757 pada Minggu Epidemiologi ke-49 iaitu dari 3 hingga 9 Disember lepas berbanding 6,796 kes pada minggu sebelumnya.
Dr Dzulkefly memberitahu peningkatan kes mempunyai kaitan dengan pergerakan orang ramai merentas negeri menjelang cuti akhir tahun tanpa memakai pelitup muka selain faktor cuaca.
"Adalah wajar diberi perhatian, dalam keadaan sesak sebaiknya gunakan pelitup muka dan juga bagi individu bergejala supaya dapat selamatkan orang lain dengan pelitup muka," katanya.
Mengenai keperluan saringan ketat di pintu masuk negara, beliau berkata langkah intervensi dan mitigasi yang sesuai akan diambil segera sekiranya diperlukan.
"Semua ini kriteria yang jelas andai keperluan itu timbul, kita dengan segera akan mengambil langkah intervensi dan mitigasi yang lebih sesuai. Kita tidak mahu terlalu cemas, tapi kita juga tidak ambil mudah," katanya.
Comentarios