top of page

Kes bunuh pelajar: Tindakan tegas jika ada kecuaian aspek keselamatan - Fadhlina

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
2 hours ago
2 min read
DS Fadhlina berbincang mengenai tragedi kematian pelajar di sebuah sekolah di Yong Peng, Batu Pahat
DS Fadhlina berbincang mengenai tragedi kematian pelajar di sebuah sekolah di Yong Peng, Batu Pahat

Mana-mana pihak yang didapati cuai atau gagal melaksanakan tanggungjawab sebagaimana ditetapkan dalam aspek keselamatan sekolah sehingga memberi ruang kepada kejadian tragis akan dikenakan tindakan tegas, kata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek.


Beliau berkata Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan menyembunyikan sebarang kelemahan selain memeriksa secara menyeluruh semua perkara yang berada di bawah tanggungjawab kementerian susulan kematian seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat di sebuah sekolah di Yong Peng, Batu Pahat, semalam.


"Antara perkara yang akan diperiksa termasuk rekod kehadiran murid ketika kelas tambahan, kawalan keselamatan serta rondaan di kawasan sekolah, termasuk peranan syarikat kawalan keselamatan yang dilantik.


“Jika terdapat kecuaian atau tanggungjawab yang tidak dilaksanakan sebagaimana sepatutnya, tindakan tegas akan diambil,” katanya dalam kenyataan selepas berada di Yong Peng pagi ini bagi mendapatkan perkembangan lanjut mengenai kejadian itu.


DS fadhlina bertemu keluarga mangsa di di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat
DS fadhlina bertemu keluarga mangsa di di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat

Fadhlina berkata lawatan berkenaan turut membolehkannya menerima taklimat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batu Pahat dan pihak sekolah mengenai kronologi kejadian serta tindakan yang sedang dijalankan.


Beliau turut bertemu keluarga mangsa di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat.


“Saya turut bertemu keluarga mangsa di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat. Dalam saat begini, tiada siapa yang merasakan kehilangan ini lebih dalam daripada keluarga. Seorang anak telah pergi. Keluarganya berhak mendapat jawapan,” katanya.


Dalam kejadian petang semalam, pelajar berusia 16 tahun itu ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan sekolah sebelum disahkan meninggal dunia.


Mangsa yang dilaporkan hadir ke sekolah bagi mengikuti kelas tambahan ditemukan di kawasan dewan selepas tidak pulang ke rumah.


Laporan media sebelum ini menyebut mangsa ditemui dengan kesan darah dan kecederaan pada tubuh manakala polis meminta orang ramai tidak membuat spekulasi sementara siasatan dijalankan.


Mangsa dikenal pasti sebagai Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, dan dilaporkan ditemukan oleh neneknya selepas menyedari cucunya tidak pulang dari kelas bimbingan.


Fadhlina berkata berdasarkan maklumat PDRM, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun telah ditahan dan direman selama enam hari bagi membantu siasatan.


Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan manakala motif dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan polis.


Beliau menegaskan KPM akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada PDRM dan tidak akan mendahului siasatan pihak berkuasa dalam menentukan punca serta keadaan sebenar yang membawa kepada kematian mangsa.


Pada masa sama, katanya sokongan kaunseling sedang diberikan kepada murid dan warga sekolah yang terkesan dengan kejadian tersebut.


“Kita mahu kebenaran diperoleh berdasarkan fakta dan bukan spekulasi,” katanya.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page