top of page

Kes 1MDB: Peraturan baharu perlu kukuhkan kerangka anti rasuah

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 2 min read

ree

Oleh: Akmal Manaf


Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center) menyifatkan sabitan terhadap bekas Perdana Menteri (PM) Najib Razak, atas kesalahan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sebagai satu langkah penting ke arah memastikan prinsip akauntabiliti ditegakkan.


Badan pemantau itu berkata, keputusan Mahkamah Tinggi terhadap Najib tempoh hari jelas membuktikan tiada individu atau pemimpin tertinggi negara kebal daripada tindakan undang-undang.


"Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan bahawa sebarang undang-undang baharu yang digubal benar-benar memperkukuh kerangka antirasuah negara, dan bukannya sekadar menjadi langkah kosmetik atau sekadar memenuhi keperluan formal semata-mata.


"C4 Center sejak sekian lama menyeru kepada pembaharuan struktur, termasuk pengukuhan mekanisme pemantauan, pelantikan bebas bagi SPRM, kebebasan Pejabat Pendakwa Raya, serta penggubalan undang-undang bagi mengawal selia pembiayaan politik.


"Pentadbiran PM Anwar Ibrahim telah mengambil beberapa langkah ke arah memperkukuh semak dan imbang, termasuk meminda Akta Audit 1957 bagi meningkatkan kuasa Ketua Audit Negara serta meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025 bagi memberi autonomi yang lebih besar kepada Parlimen dalam menguruskan hal ehwalnya," katanya dalam satu kenyataan.


Dalam kenyataan sama, C4 Center turut menggesa kerajaan memastikan agar individu penting dalam kes 1MDB, Jho Low dibawa pulang untuk menghadapi pertuduhan berkaitan peranannya dalam skandal berkenaan.


"Hubungan dan 'kerjasama' beliau dengan Najib merupakan teras kepada keseluruhan operasi penyelewengan tersebut.


"Selain itu, pihak-pihak yang terlibat dalam mengesahkan naratif palsu 'derma Arab' juga mesti dipertanggungjawabkan kerana berperanan melindungi jenayah yang dilakukan oleh bekas Perdana Menteri itu," dakwa badan pemantau itu lagi.


Tambah C4 Center, di bawah pentadbiran Anwar, pekeliling baharu mengenai pengurusan dan tadbir urus badan berkanun Persekutuan dan GLC masih membenarkan pelantikan ahli politik ke jawatan kepimpinan, dan hal itu masih perlu dipertimbangkan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page