Kerusi UMNO stabil, boleh lakukan pemulihan pengaruh dalam Kerajaan Perpaduan
- Suara Keadilan

- Dec 30, 2025
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Tindakan segelintir pemimpin UMNO yang menganjurkan supaya parti itu menarik diri dari kerjasama Kerajaan Perpaduan bakal merugikan parti berkenaan sekiranya difikirkan secara teliti.
Hal itu adalah situasi yang bakal dihadapi parti berasaskan Melayu berkenaan sekiranya pengalaman Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor pada 2021 dan 2022 lalu diambil kira berdasarkan kerjasama UMNO-Pas di peringkat negeri yang gagal dan berlawan di kerusi tradisi sesama sendiri.
Demikian pandangan penganalisis politik Universiti Malaya (UM), Datuk Prof Dr Awang Azman Awang Pawi (gambar), ketika ditanya sama ada UMNO akan rugi andainya meninggalkan Kerajaan Perpaduan.
Sebaliknya, kata beliau, UMNO tidak bersaing kerusi dengan rakan komponen Kerajaan Perpaduan, serta mendapat ruang untuk membina semula pengaruhnya sebagai parti kerajaan, terutama di Semenanjung Malaysia.
"Jika UMNO keluar daripada kerajaan sedia ada, UMNO akan kembali bersaing tiga penjuru dengan Pas dan Bersatu (jika tanpa Muafakat Nasional) iaitu senario paling merugikan.
"Pas pula akan kekal dominan dalam blok pembangkang manakala UMNO hanya pelengkap.
"Akses kepada sumber, pentadbiran dan pemulihan imej akan terputus, sesuatu yang UMNO masih perlukan pasca-PRU15," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Dalam pada itu, Dr Awang Azman menyimpulkan, Kerajaan Perpaduan merupakan peluang mendapatkan semula pengaruh bagi pemimpin UMNO untuk memastikan relevensi mereka, manakala Muafakat Nasional (MN) mungkin jalan pintas yang membawa risiko dengan pengaruh Pas yang lebih besar berdasarkan kerusi parlimen yang dimenangi parti itu dalam PRU 2022 lalu.
"UMNO tidak memerlukan gimik penyatuan Melayu, (tetapi) UMNO memerlukan masa, kestabilan dan prestasi," ujarnya.
Untuk rekod, Pas mendapat 43 kerusi parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke 15, manakala UMNO pula hanya memperolehi 26 kerusi. Senario tidak sama seperti mana Muafakat Nasional ditubuhkan pada 2019 lalu, apabila Pas memerlukan UMNO untuk memperolehi sokongan kukuh di kawasan Melayu.









Comments