top of page

Kerugian perniagaan FashionValet faktor luar jangka - Amir



Oleh: Akmal Manaf


Kerajaan memaklumkan kegagalan syarikat perniagaan fesyen dalam talian, FashionValet (FV) akibat faktor luar jangka seperti implikasi Covid-19.


Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, ketika syarikat fesyen itu ingin mencapai aspirasi menjadi platform membeli-belah pelbagai saluran, bilangan kedai fizikal telah ditambah secara pesat.


Namun katanya, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan ketika penularan wabak itu di negara ini telah menyekat perniagaan fizikal FV.


''Akibat daripada itu, pasaran dan pakaian premium termasuk tudung merosot dengan ketara, malah kedai fizikal yang kurang mendapat sambutan juga terpaksa ditutup.


''Kedua adalah faktor perubahan trend platform fesyen e-dagang. Perkembangan pesat jenama-jenama fesyen tempatan terutamanya fesyen sopan yang menggunakan saluran jualan e-platform tersendiri berserta saluran alternatif seperti akses kepada Facebook telah menyebabkan FV mengalami saingan hebat.


''Oleh itu platform FV terpaksa ditutup dan seterusnya FV telah beralih fokus kepada jenama sendiri seperti Duck dan Lilit,'' katanya di Dewan Rakyat, hari ini.


Beliau menjawab pertanyaan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) yang ingin tahu faktor kegagalan FV memandangkan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) diakui sebagai salah satu syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang membuat pelaburan banyak portfolio.


Menurut Amir lagi, punca lain yang menyebabkan kegagalan FV adalah cabaran dalam mengumpul dana.


Beliau menyifatkan, semua cabaran itu telah menyebabkan kekangan aliran tunai kepada syarikat fesyen itu.


''Ia berusaha mengumpul dana terbaharu untuk menangani masalah berkenaan, tetapi pemegang saham sedia ada termasuk Khazanah dan PNB tidak bersetuju untuk mengambil risiko tambahan dengan menambah pelaburan dalam FV.


''Malah pasaran pengumpul dana yang mencabar pada ketika itu menyebabkan proses pengumpulan dana yang dijalankan oleh FV tidak berjaya walaupun Khazanah dan PNB adalah pelabur minoriti.


''Kedua-dua pihak telah memainkan peranan proaktif untuk membantu FV termasuk memberi bimbingan strategi dan nasihat kewangan kepada ahli pengurusan tertinggi syarikat,'' ujarnya.


Walau bagaimanapun Amir berkata, impak dan cabaran yang dihadapi oleh FV terlalu besar sekali gus menyebabkan situasi kewangan syarikat semakin parah.


''Untuk terus beroperasi dan menangani masalah aliran tunai, FV pada ketika itu memerlukan suntikan modal daripada pelabur baharu dengan segera.


''Namun mereka tidak menerima banyak tawaran daripada pelabur baharu,'' jelas beliau lagi.

0 comments

Recent Posts

See All

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page