top of page

Kerugian pelaburan bukan asas automatik pertuduhan Jamil Khir - Peguam

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
42 minutes ago
3 min read
Dr Zulqarnain Lukman. Gambar arkib
Dr Zulqarnain Lukman. Gambar arkib

Kerugian pelaburan semata-mata bukan asas automatik untuk mendakwa seseorang di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan termasuk dalam kes membabitkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom, demikian kata Pengerusi Biro Undang-Undang AMANAH (KANUN), Dr Zulqarnain Lukman.


Beliau berkata, pendakwaan perlu membuktikan semua elemen kesalahan di bawah Seksyen 403 termasuk unsur ‘secara tidak jujur’ dan bukan hanya bergantung pada fakta bahawa sesuatu pelaburan itu mengalami kerugian.


"Masih terlalu awal untuk kita menyatakan Jamil Khir bersalah atau tidak kerana sekarang baharu peringkat pertuduhan. Seseorang adalah tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.


"Pihak pendakwa raya masih perlu membuktikan segala elemen kesalahan Seksyen 403 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan.


Kenyataan itu dibuat susulan pandangan Setiausaha Penerangan Umno, Datuk Suraya Yaacob yang mempersoalkan sama ada seorang menteri wajar didakwa berikutan sesuatu tindakan yang menyebabkan kerugian kepada pelaburan dibuat selain mengingatkan supaya kerugian pelaburan tidak dijadikan pengganti kepada bukti niat jenayah.


Menurut Dr Zulqarnain, pandangan bahawa pertuduhan terhadap Jamil Khir dibuat semata-mata kerana berlaku kerugian pelaburan adalah tidak tepat kerana bentuk pertuduhan yang dihadapi bekas menteri itu adalah lebih khusus.


Beliau berkata berdasarkan laporan media, Jamil Khir didakwa secara tidak jujur menyebabkan Lembaga Tabung Haji (TH) melupuskan harta milik institusi itu berupa wang kepada Al-Rawda Real Estate Development And Projects Management Co Ltd.


"Tertuduh tidak dituduh menyalahgunakan harta TH atau menjadikan harta TH sebagai kegunaannya sendiri.


"Dalam kes ini Jamil Khir telah dituduh ‘secara tidak jujur menyebabkan TH melupuskan harta’," katanya.


Mengikut laporan media, pertuduhan pertama melibatkan pelupusan RM42.94 juta pada 3 April 2015 manakala pertuduhan kedua membabitkan RM288.17 juta pada 14 Disember 2016.


Pertuduhan ketiga pula melibatkan wang berjumlah RM529.19 juta pada 17 Ogos 2017 menjadikan keseluruhan jumlah yang didakwa dilupuskan kira-kira RM860.3 juta.


Zulqarnain berkata, Seksyen 403 Kanun Keseksaan memperuntukkan kesalahan apabila seseorang secara tidak jujur menyalahgunakan sesuatu harta, menjadikannya untuk kegunaan sendiri atau menyebabkan mana-mana orang melupuskan harta berkenaan.


Katanya, setiap bentuk pertuduhan itu tetap memerlukan pendakwaan membuktikan elemen ‘secara tidak jujur’ seperti ditetapkan Seksyen 24 Kanun Keseksaan.


"‘Secara tidak jujur’ bermaksud sesiapa yang membuat apa-apa dengan tujuan menyebabkan keuntungan salah kepada seseorang atau kerugian salah kepada seseorang lain, tidak kira sama ada perbuatan itu menyebabkan kerugian salah atau keuntungan salah sebenar adalah dikatakan melakukan perkara itu secara tidak jujur," katanya.


Beliau turut merujuk keputusan dalam kes Pendakwa Raya lwn Mohd Amran Ghazali [2024] MLRSU 359 yang antara lain menggariskan keperluan pembuktian elemen Seksyen 403.


Dalam kes berkenaan, mahkamah turut merujuk prinsip bahawa perbuatan menyalahgunakan atau menukar milik harta perlu dilakukan secara tidak jujur bagi membentuk kesalahan di bawah seksyen tersebut.


Zulqarnain turut mengaitkan kes Jamil Khir dengan kes bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang sebelum ini turut berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 403.


Menurutnya, penghakiman majoriti dalam kes Syed Saddiq antara lain menegaskan bahawa kesalahan di bawah Seksyen 403 hanya boleh dilakukan berkaitan harta yang dimiliki pihak lain dan sekiranya harta berkenaan sebenarnya milik tertuduh, elemen kesalahan itu tidak dapat dibuktikan.


Bagaimanapun, katanya perbandingan dengan kes Syed Saddiq perlu dibuat berdasarkan fakta dan bentuk pertuduhan setiap kes, bukan semata-mata kerana kedua-duanya menggunakan Seksyen 403.


"Kerugian atau keuntungan dalam pelaburan bukan pertimbangan untuk pertuduhan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan," katanya.


Sehubungan itu, beliau menegaskan seseorang menteri sememangnya boleh didakwa di bawah Seksyen 403 sekiranya pendakwaan dapat membuktikan bahawa kuasa atau tindakannya digunakan secara tidak jujur sehingga menyebabkan pihak lain mendapat keuntungan salah atau seseorang mengalami kerugian salah.


"Jadi ini bukan bermaksud seorang Menteri boleh dituduh atas kerugian pelaburan.


"Seorang Menteri boleh dituduh kerana menggunakan kuasanya untuk meluluskan satu pelaburan yang dia tahu atau sepatutnya dengan segala maklumat yang ada itu dia tahu, atau dia sendiri memang berniat atau mempunyai tujuan bahawa dengan pelaburan itu menyebabkan keuntungan salah kepada seseorang, atau kerugian salah kepada seseorang lain," katanya.


Beliau pada masa sama menyifatkan kesimpulan bahawa “jangan jadikan kerugian pelaburan sebagai pengganti kepada bukti niat jenayah” sebagai tidak tepat jika ia digunakan untuk menggambarkan asas pertuduhan terhadap Jamil Khir.


"Yang menjadi elemen Seksyen 403 ialah secara tidak jujur orang itu membuat sesuatu perbuatan yang dia tahu atau bertujuan untuk satu pihak itu untung pun sudah memadai untuk membuktikan ‘dishonestly’," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page